“Dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu’adz bin Jabal r.a dari Rasulullah s.a.w sabdanya: Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada. Dan ikutilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan, nescaya menghapuskannya. Dan berperangai kepada Manusia dengan perangai yang bagus.” *Riwayat Al-Tirmizi
Pengenalan
Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmizi dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan dari Abu Abdul Rahman Muadz bin Jabal. Abu Dzar beragama Islam di Mekah kemudian hijrah ke Madinah. Hadith diriwayatkannya sebanyak 291 hadith. Abu Abdul Rahman adalah seorang pejuang yang banyak menyertai peperangan bersama Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan seorang ulama yang mengetahui perkara halal haram. Hadith diriwayatkannya sebanyak 157 hadith.
Bertaqwalah Kepada
Allah s.w.t. Erti taqwa ialah takut kepada Allah s.w.t. di mana sahaja kita berada, sama ada di tempat ramai orang ataupun di tempat sunyi yang jauh daripada pandangan manusia. Taqwa ialah melaksanakan segala wajib dan meninggalkan yang haram, serta tanpa mengira tempat, kerana Rasulullah s.a.w. sendiri telah menegaskan kita supaya bertaqwa di mana sahaja berada.
Erti taqwa juga adalah berbakti kepadaNya, yakni mematuhiNya tidak menderhakaiNya, mengingatiNya tidak melupaiNya, dan mensyukuriNya tidak mengingkariNya. Taqwa hendaklah tetap ada dalam diri setiap Muslim tanpa mengira apa jua keadaan yang menimpa diri seseorang itu.
“Dan barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia jadikan baginya satu jalan keluar dan ia kurniakan dia dari jalan yang ia tidak sangka-sangka.” Al-Thalaq : 2-3
Hadith mengandungi 3 hukum:
1- Hak Allah s.w.t. – taqwa kepadaNya
2- Hak mukallaf – menghapuskan kejahatan yang telah dilakukan
3- Hak hamba – elok pergaulan sesama manusia dalam masyarakat
Ikutilah Kejahatan Dengan Kebaikan
Sabda Rasulullah s.a.w. “dan ikutilah kejahatan itu dengan mengerjakan kebaikan, supaya kebaikan itu dapat menghapuskannya” – bererti kejahatan dilakukan seseorang itu dapat dihapuskan dosanya dengan melakukan kebaikan kemudiannya.
Kejahatan yang dimaksudkan dalam sabda Baginda s.a.w. ialah dosa kecil, dan kebaikan yang dikatakan dapat menghapuskan kejahatan itu adalah seperti sembahyang, wudu’ dan amalan lain yang disukai agama Islam. Firman Allah s.w.t.:
“Sesungguhnya segala kebaikan dapat menghapuskan segala kejahatan.” Al-Hud : 114
Berkata Ibnu Mas’ud: “Sembahyang lima waktu, jadi kifarah (penghapus dosa) yang berlaku di antara masa-masa sembahyang itu, selama dijauhi segala dosa besar.” Amal kebaikan dapat menghapuskan dosa kecil saja tidak dosa besar. Dosa besar memerlukan taubat sesuai dengan perintah Allah s.w.t. Walaubagaimanapun, tidak digalakkan untuk kekal melakukan dosa kecil. Konklusinya, segala kebaikan seperti wudhuk, sembahyang, puasa, zakat dan lain-lainnya adalah menghapuskan dosa-dosa yang tidak menghendaki taubat.
Berperangailah Kepada Manusia Dengan Perangai Yang Bagus
Perangai atau budi pekerti yang bagus adalah dari urusan taqwa atau dari tuntutannya. Tidak sempurna taqwa jika hanya menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. tetapi tidak sesama manusia. Taqwa menyeru supaya baik budi pekerti dalam hubungan sesama manusia. Jelaslah betapa tinggi lagi mulia peribadi orang berakhlak dan berbudi, serta tiada yang dibimbangkan atau ditakuti oleh sesuatu akibat perbuatannya kerana sentiasa menjaga hubungan sesama masyarakat dan hidup dalam masyarakat sempurna.
Barakallahufikh... =)
MENDAMBAKAN CINTA ALLAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan