“Dari Abu Hurayrah r.a., bahawasanya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi s.a.w.: Berilah wasiat kepada aku. Sahut Nabi: Janganlah engkau marah. Kemudian ia mengulangi beberapa kali. Sabdanya: Janganlah engkau marah.”*Riwayat Bukhari
Pengenalan
Hadith mengandungi nilai akhlak yang utama, iaitu melarang dari kemarahan. Kemarahan bukan menambahkan kebaikan, tetapi memburukkan lagi keadaan. Ketiadaan marah adalah punca elok perangai dan kelakuan hidup seseorang. Manakala seorang yang pemarah adalah orang yang memburukkan perangainya dan tidaklah mungkin diadakan sebarang kira bicara atau perundingan dengan orang yang seperti itu.
Janganlah Engkau Marah

Maksud ‘Janganlah marah’ ialah jangan turut nafsu kemarahan itu, tetapi bukanlah melenyapkan terus nafsu itu. Kemarahan adalah satu-satu tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan. Antara cara supaya dapat menahan kemarahan ialah apabila orang mengatakan tentang kesalahan kita, maka katakanlah itu sememangnya dosa yang kita tidak ingat dan kerananya kita memohon keampunan Allah s.w.t. Dan jika ada orang mengatakan sesuatu yang tiada pada kita, maka bersyukurlah kepada Allah s.w.t. kerana dia telah membuat kebaikan kepada kita dengan menghina kita.
Imam Ghazzali berkata: Kemarahan manusia bermacam-macam. Sesetengahnya lekas marah, lekas tenang dan lekas hilang. Sesetengahnya lambat marah, lambat pula redanya. Sesetengahnya lambat akan marahnya dan lekas pula hilangnya. Yang akhir inilah yang terpuji. Kemarahan menyebabkan lemah menguasai diri dan lemah menghadapi kelakuan yang tenang.
Hendaklah Engkau Marah
Marah diperlukan pada tempatnya yang diperlukan. Sebab tidaklah ada kebaikan kalau seorang sentiasa tidak marah atau hanya marah sahaja. Kemarahan seseorang adalah kerana kebenaran, tetapi dengan cara yang sopan, sesuai dengan doa Baginda s.a.w.:
“Aku pohonkan kepada Engkau kalimat kebenaran pada masa marah dan suka.”
Rasulullah s.a.w. marah kerana ada perkara yang tidak disukai yang menyalahi dari kebenaran sebagaimana diajarkan agama atau perkara yang terang-terang dilarang agama. Pernah Baginda s.a.w. melihat ada kahak di dalam masjid di bahagian kiblatnya. Baginda s.a.w. melahirkan tanda marahnya dengan berkata: Sesungguhnya apabila salah seorang kamu berada di dalam sembahyang, maka ketahuilah – bahawa Allah di hadapannya. Dan keranaNya maka janganlah ia membuangkan kahaknya di hadapanNya waktu dalam sembahyang.
Barakallahufikh... =)
MENDAMBAKAN CINTA ALLAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan