Ceramah

Jumaat, 13 Jun 2008

Hadith 14/40

"Dari Ibn Mas'ud r.a. katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Tiada halal darah seorang Islam kecuali dengan salah satu dari tiga (perkara): janda yang berzina, dan jiwa dengan jiwa, dan yang meninggalkan agamanya yang memisahkan dari jama'ah (kaum muslimin)."

*Riwayat Bukhari dan Muslim


Pengenalan

Hadith diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud. Kandungan hadithnya sangat bernilai dalam bidang hukum jenayah berhubungan dengan keturunan, darah dan agama; yang pada tiap-tiap satunya ada hak kehormatan yang mesti dipelihara.


Janda Yang Berzina Dan Hukumnya


Janda yang berzina ialah seorang lelaki atau perempuan yang sudah berkahwin dan bercampur, kemudian melakukan zina. Orang sebegini menurut istilah adalah muhsin - sudah baligh, berakal, merdeka, sudah pernah berkahwin serta bercampur dengan jalan sah - kemudian ia berzina. Hukumannya ialah direjam dengan batu sederhana sampai mati. Manakala orang yang tidak cukup syaratnya seperti teruna atau gadis atau sesiapa belum pernah berkahwin melakukan zina, pula akan dihukum dipukul 100 kali dan dibuang keluar negeri selama setahun berdasarkan nas seperti berikut:
"Telah berkata Umar (Ibn al-Khattab): Bahawa sesungguhnya Allah telah turunkan kitab kepada Muhammad s.a.w. maka di antara ayat yang diturunkan atasnya ialah ayat rejam. Kemudian kami telah membacanya dan kami telah menghafaznya dan Rasulullah telah merejamkan orang yang berzina dan kami telah juga menjalankan hukum rejam itu. Sesungguhnya aku amat takut jika sudah lama masa (nanti) ada orang yang akan berkata: Tidak kami jumpai hukum rejam dalam kitab Allah Ta'ala; lalu mereka jadi sesat dengan meninggalkan satu fardhu yang telah diturunkan Allah Ta'ala. Maka direjam itu hak atas orang yang berzna lelaki dan perempuan apabila ia seorang muhsin jika ada saksi (yang membenarkannya) atas perbuatan itu, atau bunting, atau pengakuan sendiri."

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka pukullah tiap-tiap seorang dari mereka 100 kali pukulan. Dan janganlah kamu dikalahkan (dipengaruhi) dalam (menjalankan) agama Allah oleh kasihan (kamu) kepada mereka berdua, jika (benar) kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Dan hendaklah disaksikan azab keduanya oleh segolongan orang-orang yang beriman." Al-Nur : 2

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Teruna dengan dara yang berzina dipukul 100 kali dan pembuangan negeri."


Jiwa Dengan Jiwa Dan Hukumannya


Pembunuhan balas terhadap jiwa seorang yang membunuh jiwa orang lain yang disebut (qisas), sesuai dengan firman Allah s.w.t.:
"Dan bagi kamu dalam 'menjalankan qisas' adalah menghidupkan hai orang yang mempunyai fikiran supaya kamu terpelihara." Al-Baqarah : 179

Qisas terhadap seorang adalah perlu untuk memelihara keselamatan hidup (nyawa) orang lain. Dan pembunuhan balasan atasnya memberi pelajaran yang berkesan kepada siapa saja yang berani melakukan perbuatan tersebut.
"Hai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu hukuman qisas untuk (membela) orang-orang yang mati dibunuh (iaitu) orang yang merdeka dengan yang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Tetapi barangsiapa dimaafkan baginya oleh saudaranya sesuatu, maka hendaklah ia mengikut (membalas) dengan kebaikan serta menyerahkan (diat) kepadanya dengan baik." Al-Baqarah : 178

Kesimpulannya, orang yang membunuh kalau telah cukup syarat-syaratnya yang mengharuskan supaya dibunuh maka hendaklah dibunuh (qisas), kecuali apabila dimaafkan dia oleh waris orang dibunuh dengan cara membayar denda (diat) atau dimaafkan sama sekali.


Keluar Dari Agama Islam Dan Hukumannya

Orang yang meninggalkan agamanya atau berpecah dari kumpulan jemaah kaum muslimin, hendaklah dibunuh sama ada dengan memeluk agama lain ataupun tidak. Orang demikian dinamakan murtad, di antara sebab i'tiqad yang mengkafirkan - ingkar rukun Islam yang telah diwajibkan, menghalalkan benda diharamkan Allah s.w.t., memaki Allah s.w.t. dan RasulNya dan menghina Al-Quran.
"Dan barangsiapa dari kamu yang berpaling daripada agamanya, lalu ia mati pada hal ia (tetap) kafir, maka gugurlah amal-amal mereka (akan) kekal di dalamnya." Al-Baqarah : 217

Orang murtad adalah orang kafir. Tetapi masih diberi peluang untuk kembali lagi kepada agama Islam. Kalau peluang ini tidak digunakan olehnya untuk bertaubat, sedang dia masih tetap kufur, maka wajiblah dijalankan hukuman ke atasnya - dibunuh. Mengenai bilakah orang murtad perlu dibunuh, terdapat pendapat mengatakan perlu dibunuh segera supaya tidak melambatkan hak Allah s.w.t. Ada pendapat lain pula mengatakan perlu diberi tempoh untuk bertaubat selama 3 hari.

"Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana - hukuman - pembunuhan atau kerana membuat bencana (kerosakan) dalam muka bumi maka seolah-olah ia telah membunuh sekelian manusia. Dan barangsiapa yang menghidupkan seorang maka seolah-olahnya ia telah menghidupkan sekelian manusia." Al-Maidah : 32

Membunuh seorang manusia bererti membunuh sekelian manusia, dan menghidupkan seorang dari mereka (dengan tidak membunuhnya) bererti pula menghidupkan sekelian mereka. Membunuh tidak diharuskan sama sekali, kecuali 2 sebab - orang yang membunuh dan membuat bencana serta kerosakan dalam muka bumi. Peperangan, zina dan murtad bererti membuat bencana dan kerosakan dalam muka bumi. Hukuman ini sebenarnya untuk mengawas, memelihara, menjamin keselamatan peribadi hidup setiap orang dari sebarang pencabulan kehormatan jiwa, nasib, dan agama.

Walaubagaimanapun, dalam pada masa yang sama, hukuman ini tidaklah dijalankan dengan terburu-buru. Hukuman ini hendaklah dijalankan penelitian yang saksama terlebih dahulu. Contohnya pada zaman Rasulullah s.a.w., seorang lelaki bernama Ma'az bin Malik datang kepada Rasulullah s.a.w. dan mengaku telah berzina. Baginda s.a.w. tidak mempedulikan pengakuannya sehingga kali ke-3 barulah Baginda s.a.w. memberi reaksi. Setelah penelitian yang rapi barulah Baginda s.a.w. menjalankan hukuman terhadap Ma'az. Kisah ini menunjukkan bahawa betapa cermat dan telitinya Rasulullah s.a.w. dalam memutuskan hukuman ini.


Barakallahufikh.. =)



MENDAMBAKAN CINTA ALLAH


Tiada ulasan:


Sapa2 nak dengar ceramah MP3, sila beri emel anda kepada saya dengan menge'send' emel kepada saya via:

1- facebook
2- ruang komen
3- ruang shoutbox
4- emel (sixiangjia1786@gmail.com)
5- henset (01x-xxxxxxxx)
6- pos express
7- burung merpati

Antara tajuk yang ada dalam koleksi :
1- Ustaz Shamsuri Hj Ahmad
*Kitab Muhimmah
*Kitab Bahrulmazi
*Kitab Nurul Ihsan

2- Ustaz Azhar Idrus
*Kitab Asas Fardhu Ain

3- Ustaz Ismail Kamus
4- Ustaz Harun Din
5- Ustaz Zahazan Mohamad (Tafsir)

Jum sama2 menuntut ilmu..