Ceramah

Selasa, 24 Jun 2008

11 Perkara Mencemari Kemurnian Tauhid (Part 8)

(10) Mengubah Syariat Allah s.w.t.

"Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah?" Al-Syura : 21

Sesetengah golongan mensyariatkan agama sendiri dan mengangkat sesuatu yang lain sebagai tuhan yang sejajar dengan Allah s.w.t. Ini juga mencemari kemurnian tauhid. Kita dilarang mengubah syariat Allah s.w.t. sama ada dari i'tiqad atau amalan dan ia wujud dalam bentuk pengguguran, pengurangan, penambahan dan pengubahsuaian.

Contoh pengubahsuaian dari sudut i'tiqad:
Dakwaan aliran Islam liberal masa kini bahawa semua agama adalah benar.
"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam." Al-Imran : 19

Contoh pengguguran dari sudut i'tiqad dan amalan:
Dakwaan aliran feminis bahawa memakai tudung bagi perempuan hanyalah merupakan budaya arab 1400 tahun lalu yang tidak perlu diamalkan muslimah kini.
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." Al-Nur : 31

Contoh penambahan dari sudut amalan:
Berhimpun melakukan kenduri arwah di rumah yang berlaku kematian padahal perhimpunan tersebut satu bentuk meratap yang dilarang Islam. Sabda Baginda s.a.w.:
"Dua hal yang ada pada manusia yang kedua-duanya menyebabkan mereka kufur: mencela keturunan dan meratapi kematian."

Contoh pengurangan dari sudut amalan:
Sengaja meninggalkan sahur sebaik sahaja sebelum azan Subuh ketika berpuasa. Sabda Baginda s.a.w.:
"Pembeza antara puasa kita dengan Ahli Kitab ialah makan sahur."

Contoh pengubahsuaian dari sudut amalan:
Berdoa beramai-ramai dengan suara kuat. Berdoa merupakan suatu tuntutan dalam Islam tetapi hendaklah dengan adab. Berdoa beramai-ramai dengan suara kuat adalah pengubahsuaian daripada adab diterangkan Allah s.w.t.:
"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." Al-A'raaf : 55

Untuk hal ini, ada sedikit tambahan untuk pendapat saya. Ada sesetengah Imam terus meninggalkan makmum terpinga-pinga setelah habis solat tanpa berdoa terlebih dahulu. Bagi saya, berdoa beramai-ramai dibolehkan tetapi tidak dengan suara yang kuat. Jadi apa salahnya berdoa beramai-ramai di samping menjaga adab-adab berdoa. Dengan meninggalkan makmum terpinga-pinga, lebih baik kita berdoa supaya lebih beradab dan menunjukkan hikmah seorang Imam. Perbuatan meninggalkan makmum selepas solat seraya berdoa bersendirian itu tidak salah, tetapi bimbang menimbulkan fitnah kepada Imam itu sendiri, dan paling bahaya jika fitnah kepada Islam sendiri. Kita kena lihat keadaan umat sekeliling juga, jika semua sudah faham keadaan, tidak salah berbuat demikian. Bagaimana pula kepada mereka yang tidak tahu bahawa berdoa itu dituntut dalam Islam? Mereka mesti beranggapan bahawa doa ini tidak perlu kerana Imam mereka sendiri meninggalkan makmum tanpa berdoa. Saya tidaklah kata hal itu salah, cuma bagi saya perkara seperti itu perlu mengikut keadaan dan tempat, bukan digunapakai untuk semua tempat. Macam kita rakyat Malaysia, tidak ramai mendapat pendedahan Islam secukupnya. Tengoklah sahaja tv, radio, dan media massa lain, kebanyakannya hiburan dan lagha semata-mata. Jika ada pun hanya sedikit (dan tidak keseluruhan kerana ada yang ditapis). Paling ringkas, kita dengar sahajalah radio. Radio mana sentiasa ada pengumuman azan? Setakat ini hanya IKIM sahaja, yang lain tiada lagi saya rasa. Itu baru kita tumpu kepada pengumuman azan, penghayatan Islam yang paling mudah difahami - kepentingan solat - belum lagi untuk penghayatan Islam yang lebih mendalam lagi.

Walaubagaimanapun, tidaklah dikatakan mengubah syariat Islam jika dilakukan untuk memelihara syariat atau mencapai tujuannya. Contohnya membahagikan ilmu Islam kepada tafsir, hadis, fiqh dan lain-lain termasuk dalam kategori memelihara syariat Islam. Selain itu mewujudkan kursus rumahtangga dan ‘Tabung Khairat Kematian’ termasuk dalam kategori mencapai tujuan syariat Islam.

Terdapat beberapa jenis sembahan yang bertujuan mengubah syariat Islam:

1-Sembahan orang alim
“Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah.” Al-Taubah : 31
Majoriti umat Islam kini terlalu memberi kepercayaan kepada pensyarah, ustaz, imam, khatib dsb sehingga menerima apa sahaja mereka sampaikan tanpa menyemak sama ada ia selari atau tidak dengan Al-Quran dan Al-Sunnah yang sahih. Diingatkan bahawa peranan agamawan adalah menyampaikan ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah yang sahih, jadi janganlah kita jadikan mereka sebagai sembahan-sembahan yang mengubah syariat Allah s.w.t., jadikanlah mereka hanya sebagai manusia yang dapat menyampaikan kepada kita syariat Allah s.w.t. yang asal.

2-Sembahan hawa nafsu
“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya?” Al-Jathiyah : 23
Menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan, lebih-lebih lagi dipengaruhi syaitan, akan membahayakan fahaman syariat Islam sebenar. Maka hendaklah berwaspada terhadap hawa nafsu kerana kadangkala menjadi sembahan tanpa disedari. Apabila tergerak hati untuk melakukan sesuatu, hendaklah disemak semula bahawa ia selari atau tidak dengan ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah. Selain itu hendaklah berdoa kepada Allah s.w.t. supaya hati sentiasa di bawah petunjukNya dan tidak sebaliknya.

3-Sembahan mimpi, ilham dan kasyaf
Berhubung mimpi, ilham dan kasyaf, reaksi orang ada 3 jenis:
a)Menerima bulat-bulat dan dijadikan dalil agama. Mereka mendakwa mampu berhubung terus kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melalui itu.
b)Menolak bulat-bulat dan tidak memiliki apa-apa kaitan dengan agama. Bagi mereka ia hanyalah khayalan semata-mata atau hanya mainan syaitan.
c)Berada dalam pertengahan antara menerima dan menolak. Mereka menapis melalui rujukan Al-Quran dan Al-Sunnah yang sahih, jika selari maka diterima dan sebaliknya.

Reaksi terakhir merupakan sikap yang terbaik dan benar. Allah s.w.t. berfirman:
“Katakanlah: Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya. Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.” Al-Imran : 74

Kita perlu menapis segala mimpi, ilham atau kasyaf tersebut, sama ada adalah kurnia Allah s.w.t. atau tipu daya syaitan. Penapisan terbaik adalah melalui Al-Quran dan Al-Sunnah yang sahih. Allah s.w.t. tidak akan menurunkan syariat baru selepas agama Islam yang syumul ini.

4-Sembahan ilmu Ladunni
Ilmu ini ialah ilmu kurniaan Allah s.w.t.kepada hamba terpilih tanpa proses pembelajaran biasa. Pengurniaan ini seperti disebut firman Allah s.w.t.:
“Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu,; dari sisi Kami.” Al-Kahfi : 65

Kita hendaklah menerima Ilmu Ladunni berdasarkan penapisan Al-Quran dan Al-Sunnah yang sahih. Siapa mengatakan ilmu dari sisi Allah s.w.t. tetapi hakikatnya berbohong maka dia mendapat celaan besar kerana itu. Firman Allah s.w.t.:
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: Telah diberi wahyu kepadaku; padahal tidak diberikan sesuatu wahyu pun kepadanya.” Al-An’aam : 93

Allah s.w.t. telah menyusun urutan hal-hal diharamkan kepada 4 tingkatan:
“Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya (1) mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa; (2) dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alas an yang benar; dan (3) (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (4) (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.” Al-A’raaf : 33

Segelintir orang menggelar mereka tok syaikh atau ‘hamba terpilih’ dikurniakan Allah s.w.t. sekalipun menentang Al-Quran dan Al-Sunnah. Sikap ini jelaslah salahnya kerana tidak menyandarkan sesuatu kepada pembuktian yang nyata dari Al-Quran dan Al-Sunnah.

5-Sembahan kisah Nabi Khidir
Terdapat kisah dalam Al-Quran di mana Nabi Musa a.s. diajar Nabi Khidir sesuatu berbeza daripada biasa.
a)Syariat orang awam – syariat ini diturunkan kepada Nabi Musa a.s.
b)Syariat orang khusus – syariat ini diturunkan kepada Nabi Khidir a.s.

Maka segelintir orang menggunakan dalil ini untuk mewujudkan syariat baru. Mereka mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. juga memiliki 2 syariat. Yang pertama adalah untuk orang awam iaitu disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan yang kedua adalah untuk orang terpilih, iaitu syariat khusus disampaikan Allah s.w.t. dalam bentuk mimpi, ilham, kasyaf, dan Ilmu Ladunni.

Kisah syariat Nabi Khidir telah pun tercatat dalam Al-Quran sebagai syariat khusus, dalam erti kata lain telah tercatat bukti yang sah. Segala tindak tanduknya adalah berdasarkan ilmu daripada Allah s.w.t. semata-mata. Selain bukti dalam Al-Quran, zaman itu juga adalah ketika syariat Nabi Musa a.s. belum sempurna disampaikan. Dengan itu ada kemungkinan Allah s.w.t. mensyariatkan apa dikehendakiNya. Berbanding hal Nabi Muhammad s.a.w., syariat Baginda s.a.w. telahpun sempurna seperti firman:
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” Al-Maidah : 3



Wallahua'lam...


akan datang insyaallah:
(11) Cintakan sesuatu lebih daripada Allah



Tiada ulasan:


Sapa2 nak dengar ceramah MP3, sila beri emel anda kepada saya dengan menge'send' emel kepada saya via:

1- facebook
2- ruang komen
3- ruang shoutbox
4- emel (sixiangjia1786@gmail.com)
5- henset (01x-xxxxxxxx)
6- pos express
7- burung merpati

Antara tajuk yang ada dalam koleksi :
1- Ustaz Shamsuri Hj Ahmad
*Kitab Muhimmah
*Kitab Bahrulmazi
*Kitab Nurul Ihsan

2- Ustaz Azhar Idrus
*Kitab Asas Fardhu Ain

3- Ustaz Ismail Kamus
4- Ustaz Harun Din
5- Ustaz Zahazan Mohamad (Tafsir)

Jum sama2 menuntut ilmu..