(9) Mengharapkan Pengaruh Makhluk Dalam BerdoaDoa amat penting di sisi Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"Tidak ada sesuatu yang lebih mulia kepada Allah Ta'ala melainkan doa."
Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan:
"Sesiapa yang tidak berdoa kepada Allah, maka Allah murka ke atasnya."
Apabila berdoa, hendaklah ditujukan kepada Allah s.w.t. sahaja, diikuti dengan keyakinan bahawa Allah s.w.t. sahaja yang akan mengabulkan doa tersebut. Allah s.w.t. berfirman:
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu." Al-Baqarah : 186
Oleh itu tidak dibenarkan meminta doa kepada selain Allah s.w.t. atau mengharapkan pengaruh orang lain selain Allah s.w.t. Meminta pertolongan terbahagi 2 jenis:
1- Pertolongan fizikal : Dibolehkan meminta sesama makhluk
2- Pertolongan spiritual : Tidak boleh diminta sesama makhluk
Dalam keadaan tertentu, dibolehkan menggabungkan antara permintaan spiritual dan fizikal. Contohnya pelajar ingin menghadapi peperiksaan berdoa kepada Allah s.w.t. di samping meminta pertolongan guru untuk menjelaskan pelajaran kurang difahaminya. Tidak boleh meminta pertolongan spiritual sesama makhluk. Hal ini dilarang kerana mensejajarkan kedudukan makhluk lain dengan Allah s.w.t. sebagai berhak untuk dipanjatkan doa dan diharapkan pemakbulannya. Walaubagaimanapun, berdoa menggunakan perantaraan makhluk (tawasul) terbahagi 2 jenis, ada yang dibolehkan dan ada yang dilarang.
Perantaraan yang dibolehkan.
Hendaklah menggunakan perantaraan yang dibolehkan melalui dalil yang kuat dan jelas. Terdapat 3 bentuk:
1- Dengan perantaraan nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t.:
"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik, maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu." Al-A'raaf : 180
"Katakanlah: Serulah (berdoalah dengan) nama Allah atau Ar-Rahman, yang mana sahaja kamu serukan; kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia." Al-Isra' : 110
Satu contoh berdoa jenis ini ialah Doa Solat Istikharah yang diajar Rasulullah s.a.w.
2- Dengan perantaraan amal shalih. Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Ketika tiga orang sekawan sedang berjalan, mereka ditimpa hujan lalu mengambil perlindungan dalam sebuah gua di sebuah gunung. Kemudian sebuah batu besar dari gunung tersebut jatuh di mulut gua dan mengurung mereka di dalamnya. Maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain: Berfikirlah tentang amal shalih yang pernah kalian lakukan semata-mata kerana Allah, kemudian berdoalah kepada Allah dengan bertawasul melalui amal tersebut, semoga Allah memberi jalan keluar dengannya." Setelah mereka menjelaskan segala amal mereka maka akhirnya Allah memberikan bukaan pada batu tersebut sehingga mereka dapat melihat langit.
Syarat berdoa dengan perantaraan amal shalih hendaklah amal tersebut daripada sesuatu disyariatkan Islam melalui Al-Quran dan Al-Sunnah yang sahih. Ia bukan daripada amal bid'ah. Syarat kedua hendaklah amal itu dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t.
3- Dengan perantaraan doa orang shalih. Dibolehkan meminta seorang shalih mendoakan sesuatu untuknya. Meminta orang shalih berdoa adalah pertolongan fizikal manakala orang shalih yang mendoakan untuk yang meminta adalah pertolongan spiritual.
Orang shalih yang dimaksudkan adalah orang faham agama dan melaksanakannya secara adil antara hubungan dengan Allah s.w.t. dan sesama makhluk. Orang shalih paham agama adalah mereka yang beramal dengan apa yang disyariatkan oleh Allah s.w.t. dan RasulNya serta membanteras apa-apa amal yang bid'ah. Mereka juga beramal dengan menjaga hubungan sesama manusia, khasnya ibubapa. Mereka juga menjaga hubungan antara haiwan dan alam sekitar. Orang shalih juga mampu menimbangkan antara 2 amalan yang mana satu lebih utama untuk mencapai manfaat paling luas dan kemudaratan paling kecil (Fiqh al-Awlawiyat).
Tujuan kita meminta orang shalih mendoakan untuk kita bukanlah kerana pengaruhnya tetapi kerana :
1- Orang shalih lebih kerap berhubung Allah s.w.t. - selalu menunaikan solat berjemaah, istiqamah dengan solat sunat, disiplin bangun qiamulail, sering puasa sunat, selalu berzikir, tidak meremehkan amal ma'ruf nahi mungkar
2- Orang shalih akan mendoakan permintaan kita dengan syarat dan adab yang digariskan Allah s.w.t. dan RasulNya
3- Orang shalih lebih mengetahui doa-doa daripada Al-Quran dan hadith-hadith shahih
4- Orang shalih mampu menyusun doa dengan perkataan lebih tepat dan bernilai
5- Orang shalih lazimnya memiliki hikmah dan wawasan luas sehingga mampu menasihati kita seandainya permintaan kita adalah sesuatu tidak baik untuk dunia dan akhirat
Perantaraan yang dilarang.
Berdoa dengan perantaraan menggunakan kemuliaan makhluk adalah dilarang. Memang menggunakan perantaraan kemuliaan makhluk kerana mengharap pengaruh makhluk tersebut dan dipanjatkan terus kepada Allah s.w.t. Namun, jika diyakini doa tersebut akan lebih bernilai, lebih cepat sampai kepada Allah s.w.t. dan lebih tinggi kemungkinan dimakbulkan Allah s.w.t., maka cara ini mirip kepada sikap orang-orang musyrik yang menyembah dan meminta pertolongan kepada sesuatu selain Allah s.w.t.
"Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah." Al-Yunus : 18
Apa perlu mencari pengaruh daripada tokoh-tokoh yang tidak memiliki pengaruh untuk diri sendiri? Oleh itu berdoa dengan perantaraan kemuliaan seorang tokoh juga mencemari kemurnian tauhid.
Wallahua'lam...
akan datang insyaallah:
(10) Ubah syariat Allah
(11) Cintakan sesuatu lebih daripada Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan