(6) Mempercayai Sesuatu Sebagai Dapat Membawa Nasib Yang Baik Atau BurukPada zaman Rasulullah s.a.w., wujud kepercayaan bahawa sesuatu benda atau peristiwa dapat mengakibatkan nasib baik atau buruk. Salah satunya digelar al-Tathayyur iaitu menggunakan burung sebagai sumber pedoman. Jika mereka mempunyai urusan, jika ternampak burung terbang ke arah kanan, maka mereka optimis manakala jika burung terbang ke kiri, mereka pesimis dan berpatah balik. Kepercayaan seperti ini ditolak oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung, tidak boleh mempercayai Hama dan tidak boleh (mempercayai kecelakaan) pada bulan Safar, dan larilah kamu dari penyakit Kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa."
Mempercayai nasib baik atau buruk pada arah penerbangan burung adalah satu bentuk kesyirikan. Tegas Rasulullah s.a.w.:
"Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik." (diulang 3 kali oleh Baginda)
Kepercayaan sebegini masih wujud sehingga sekarang ini, hanya caranya berbeza. Contohnya jika salah seorang ahli keluarga terlepas dari tangannya air yang sedang diminum sehingga pecah gelas tersebut, bererti satu nasib buruk telah berlaku kepada salah seorang ahli keluarga berada di luar rumah.
Selain itu, mempercayai sesuatu yang dipakainya dapat menjamin nasib baik bagi dirinya, seperti cincin atau jam yang membawa tuah. Kepercayaan seperti ini wujud dalam bentuk dan cara berbeza, tetapi tetap sama iaitu mempercayai nasib baik atau buruk terletak pada sesuatu benda atau peristiwa. Ini memcemari kemurnian tauhid kerana segala nasib baik atau buruk dan semua telah, sedang, atau akan berlaku telah ditulis Allah s.w.t. sejak awal.
"Dan Dia (Allah) mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata." Al-An'aam : 59
Nasib baik akan diperoleh seorang Muslim jika dia berusaha untuk mendapatkannya. Ini kerana Allah s.w.t. berfirman:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." Al-Rad : 11
Sebaliknya nasib buruk akan menimpa seorang Muslim jika dia enggan berusaha atau sengaja biarkan dirinya ke arah keburukan:
"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan; dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu." Al-Syura : 30
(7) Menggunakan Tangkal Dan Azimat
Menggunakan tangkal mencemari kemurnian tauhid kerana menganggap benda itu sejajar dengan kuasa Allah s.w.t.,

malah mengambil alih kekuasaan Allah s.w.t. dalam menentukan apa yang dapat membawa manfaat dan menolak mudarat. Rasulullah s.a.w. bersikap tegas kepada orang memakai tangkal. Baginda terus melarang tanpa bertanya sama tujuan memakainya atau adakah tangkal tersebut telah dijampi dengan ayat-ayat Al-Quran. Sabda baginda:"Sesiapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah (berbuat) syirik."
Ketika Rasulullah s.a.w. melihat orang memakai tangkal untuk melindungi dirinya, beliau bersabda:
"Tiadalah ia menambah bagi kamu kecuali kelemahan. Lemparkan ia daripadamu, kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atasmu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (yakni di Hari Akhirat)."
Tangkal juga dilarang penggunaannya ke atas binatang sebagaimana perintah Rasulullah s.a.w.:
"Janganlah dibiarkan di leher unta kalung (yang diperbuat) daripada tali atau (apa-apa jenis) kalung kecuali dilepaskan."
Berhubung penggunaan tangkal yang dijampi dengan ayat-ayat Al-Quran atau Zikrullah, ada beberapa analisa mengenai hal ini:
1- Hadith-hadith melarang penggunaan tangkal secara umum, tiada dikira sama ada dijampi atau tidak.
2- Jika penggunaan tangkal yang dijampi dengan ayat-ayat Al-Quran dan Zikrullah dibenarkan Baginda, sudah tentu Baginda mengajarkan perkara itu kepada para sahabat dan melalui hadith-hadith sahih.
3- Berbeza dengan jampi-jampian, tangkal bertindak sebagai 'jalan tengah' antara seorang hamba dan Allah s.w.t., tetapi mengapa perlukan 'jalan tengah' sedangkan kita sudah yakin pertolongan Allah s.w.t. boleh dapat secara terus?
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." Al-Baqarah : 186
"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." Al-Mu'min : 60
4- Seseorang mendakwa menggunakan tangkal tetapi sebenarnya memberi pengaruh adalah Allah s.w.t., tetapi lambat laun dia akhirnya akan terperangkap jua kepada 'pengaruh' tangkal itu.
5- Perlindungan sebenar dari ayat-ayat Al-Quran dan Zikrullah adalah kefahaman dan keyakinan kepada yang diseru dalam kalimah-kalimah tersebut sebagai pelindung, yakni Allah s.w.t., menggantung tangkal tiada membawa sebarang faedah melainkan salah guna dan penghinaan sahaja terhadap ayat-ayat Al-Quran dan Zikrullah.
Kesimpulannya penggunaan tangkal tetap dilarang sekalipun dijampi dengan ayat-ayat Al-Quran dan Zikrullah.
Wallahua'lam..
akan datang insyaallah:
(8) Jampi yang tidak difahami
(9) Harapkan pengaruh makhluk dalam berdoa
(10) Ubah syariat Allah
(11) Cintakan sesuatu lebih daripada Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan