"Dari Abu Hurayrah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala itu baik, tidak Ia terima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintah orang-orang mukmin dengan apa yang Ia perintahkan kepada sekelian Rasul. Maka Allah Ta'ala berfirman (seperti yang disebut dalam hadith, yang ertinya): Hai sekelian Rasul! Makanlah dari yang baik-baik dan beramallah akan yang baik. Dan Ia berfirman: Hai sekelian orang yang beriman! Makanlah dari segala yang baik-baik yang telah rezekikan kepada kamu. Kemudian ia menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya menghulurkan dua tangannya ke langit (berdoa): Hai Tuhanku! Hai Tuhanku! Pada hal makanannya haram, dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram; maka bagaimanakah akan diperkenankan baginya?"*Riwayat Muslim
Pengenalan

Hadith diriwayatkan dari Abu Hurayrah. Diantara nilai hukum yang diisyaratkan ialah pentingnya makanan yang halal bagi orang yang beriman dalam hubungan ibadat dan doanya. Kerana untuk penyempurnaannya tidak saja dikehendaki kepada kebaikan apa yang dikerjakannya tetapi memerlukan pula kepada halalnya makanan dan pakaiannya yang digunakan setiap hari.
Allah Itu Baik, Tidak Diterima Melainkan Yang Baik
Erti yang baik di dalam hadith ialah yang suci dan bersih dari segala keburukan pada amal dan harta benda, seperti sadaqah yang dari harta yang haram atau amal seseorang yang dicampuri riak dan bangga. Ini bererti bahawa Allah s.w.t. tidak menerima suatu yang buruk walaupun pada zahirnya kelihatan baik.
Amal seorang beriman mempunyai hubungan yang rapat dengan makanannya dan minumannya, yakni makanan dan minuman hendaklah dari yang halal. Halal pada pandangan syarak ialah yang baik walaupun tidak lazat rasanya. Firman Allah s.w.t.:
"Hai sekelian Rasul! Makanlah dari yang baik dan beramallah akan yang baik." Al-Mukminun : 51
"Hai sekelian orang yang beriman! Makanlah dari segala yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu." Al-Baqarah : 172
Berdasarkan firman Allah s.w.t. tersebut, jelaslah bahawa sekelian Rasul dan umat mereka disuruh makan yang halal yang direzekikan kepada mereka. Makanan yang halal menjadi syarat utama bagi kesucian amal yang akan diterima. Orang beriman dikehendaki supaya amalnya bersih, dan dikehendaki supaya jiwanya atau hatinya digerakkan oleh kekuatan darah yang bersih dari makanan yang haram serta dihiasi badannya oleh pakaian bersih dari milik haram.
Doa yang diperkenankan adalah doa orang yang makan makanan halal. Demikian juga amal memerlukan makanan yang halal. Di antara sebab amal tidak diterima ialah sadaqah dengan harta yang haram sebagaimana menurut riwayat Ibn Umar r.a. dari Nabi s.a.w.:
"Tiada diterima Allah akan sembahyang dengan tiada suci. Dan tiada diterima akan sadaqah dari khianat."
Orang Yang Tidak Diperkenankan Doanya
Sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w. dalam hadith, walaupun kita bersungguh-sungguh dalam berdoa tetapi dalam masa yang sama ketiadaan syarat amat diperlukan dalam berdoa - makanan, minuman dan pakaian dari yang halal - maka bagaimanakah diperkenankan doanya? Pendekkata semuanya haram hingga darah yang mengalir dalam badan juga turut haram.
Ada pula sebab lain menghalangi doa diterima. Di antaranya ialah segala perbuatan yang haram atau maksiat dan segala kesalahan. Ibrahim bin Adham (seorang tassawwuf masyhur) memberi 10 sebab mengapa hati menjadi buta dan tidak diperkenankan doa:
1- Kita mengenal Allah, tetapi tidak tunaikan hakNya
2- Kita sangka bahawa kita cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi tinggalkan Sunnahnya
3- Kita membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengannya
4- Kita makan nikmat Allah s.w.t., tetapi tidak tunaikan syukurNya
5- Kita berkata syaitan itu musuh kita, tetapi kita tidak menentangnya
6- Kita berkata bahawa syurga itu benar, tetapi tidak beramal untuknya
7- Kita berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kita tidak lari daripadanya
8- Kita berkata bahawa mati itu benar, tetapi tidak bersedia baginya
9- Kita bangun dari tidur lalu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kita lupa keaiban sendiri
10- Kita kebumikan mayat manusia, tetapi kita tidak mengambil iktibar daripadanya
Selain itu, doa juga dikehendaki dilakukan dengan syarat dan adabnya. Di antaranya ialah dilakukan dengan perlahan-lahan, menjauhi susunan kata bersajak-sajak, dan memohon perkara yang halal dan munasabah.
Barakallahufikh... =)
MENDAMBAKAN CINTA ALLAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan