Ceramah

Khamis, 22 Mei 2008

Hadith 5/40

"Dari Umm al-Mu'minin (Ibu sekelian orang-orang Mu'min) iaitu Umm Abdullah Aisyah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa mengada-adakan dalam urusan (agama) kami ini suatu pekerjaan yang tiada daripadanya, maka (yang diada-adakan) itu tertolak."

*Riwayat Bukhari dan Muslim


"Barangsiapa mengerjakan suatu pekerjaan yang tiada di atasnya urusan kami, maka ia tertolak."

*Riwayat Muslim


Pengenalan

Hadith diriwayatkan dari isteri Rasulullah s.a.w., Aisyah Umm al-Mu'minin. Menurut riwayat termasyhur, Rasulullah s.a.w. mengahwininya dalam usia 6 tahun di Mekah. Ketika Rasulullah s.a.w. wafat, Aisyah r.a. berusia 18 tahun dan hidup 40 tahun selepas itu. Ahli hadith meriwayatkan hadith daripadanya sebanyak 2210 hadith, 174 daripadanya disetujui oleh Bukhari Muslim, 64 daripadanya diriwayatkan oleh Bukhari, manakala 68 daripadanya diriwayatkan oleh Muslim.


Suatu yang diada-adakan tertolak

Erti mengada-adakan ialah merekakan dan membuat suatu yang baru yang tidak ada contohnya dari Nabi s.a.w. Inilah dikatakan bid'ah.


Erti dalam urusan kami ini, ialah dalam agama kami ini atau dalam syariat kami, terutama dalam urusan akidah dan ibadat, yang telah sempurna dan ditunjukkan cara keimanan dan cara melaksanakan amal yang bertalian dengan ibadat itu.

Erti suatu yang tiada daripadanya, ialah suatu pekerjaan agama yang tiada daripada agama atau tiada didasarkan kepada suatu dari dalil-dalil syarak menurut kaedah atau peraturan pengambilan hukum.

Erti tertolak, ialah tiada dihukum sah suatu yang diada-adakan itu dan tidaklah diterima.

Barangsiapa mengada-adakan atau mengerjakan suatu pekerjaan agama yang diada-adakan orang lain, padahal suatu pekerjaan itu tidak menurut dalil agama, maka ia tertolak sama sekali.

Jadi suatu perkara agama sama ada dalam i'tiqad, ibadat, ataupun perkara muamalat, akan ditolak kalau dikerjakan dengan cara yang tidak dibenarkan oleh agama atau dengan cara yang berlainan dengan hukum yang ditetapkannya. Oleh demikian kerja seperti itu tetaplah dilarang.

Walaubagaimanapun, tidaklah dilarang mengadakan suatu cara atau peraturan yang baru yang lebih sesuai dengan zaman selama tidak ada keterangan yang melarangnya oleh suatu sebab.


Amal-amal agama yang tidak diterima

Di antara amal atau perbuatan yang tidak sah dan tidak diterima ialah seperti mandi, berwuduk, puasa, sembahyang dan ibadat lain yang dikerjakan tidak menurut hukumnya, dan seperti jual beli dengan aqad yang berlawanan dengan peraturan agama dan seperti perbuatan dikatakan menjadi ibadat pada hal tidak diperintah atau tidak pernah ditunjuk oleh dalil agama.

Seperti contoh pada zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang lelaki bernazar dengan berdiri ditengah-tengah panas matahari. Dia bernazar tidak mahu duduk dan tidak mahu berteduh ditambahkan lagi dia berpuasa. Rasulullah s.a.w. menyuruh lelaki itu segera duduk dan berteduh serta sempurnakan puasanya, dan tidak dibenarkan dia bernazar sedemikian kerana bukanlah satu perkara boleh dinazarkan dan disempurnakan sebagai satu ibadat, dan tidak wajib disempurnakan nazar itu.

Tentang perbuatan nazar untuk berdiri, ialah satu kebajikan dan ketaatan. Berdiri ialah satu perbuatan dalam ibadat pada tempat tertentu, yakni pada sembahyang, azan, berdoa di Arafah. Tidaklah berdiri dijadikan ibadat pada tempat yang tidak diperintah atau disyariatkan. Bukanlah tiap-tiap perbuatan itu mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Sebab itulah berdiri lelaki itu tidak dipandang satu perbuatan baik yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Ada pula perbuatan yang bukan ibadat dan termasuk kepada hukum jenayah. Hal ini kerana dilakukan dengan cara yang bertentangan atau mengubah sama sekali bentuk hukum yang asal, seperti contoh:

Seorang lelaki bertemu Rasulullah s.a.w., bahawa anaknya telah berzina. Anaknya akan dihukum. Dia mahu menebusnya dengan membayar 100 ekor kambing bersama seorang hamba. Rasulullah menjawab: "Bahawa kambing dan hamba engkau itu hendaklah dikembalikan kepada engkau, dan atas anak engkau sebanyak 100 kali pukulan dan selama setahun pembuangan."

Inilah sebagai contoh penukaran rangka hukum syarak yang sudah ditetapkan dengan satu hukum yang baru, iaitu menghukum orang berzina dengan harta benda.

Setiap amal yang tidak disyariatkan agama atau tidak ditunjuk oleh dalilnya adalah ditolak - ertinya tidak diterima. Siapa sahaja yang merekakan suatu perkara baharu dalam agama atau dihubungkannya dengan agama, padahal Allah s.w.t. dan RasulNya tidak pernah membenarkan yang demikian itu tidaklah perkara yang tersebut itu dipandang sah dalam agama. Sebab itu ditolak dan tidak diterima. Tidaklah dapat beramal dengan suatu amal yang keluar dari hukum syara' atau yang menyalahinya. Juga tidaklah dapat diterima alasan orang berbuat kejahatan mengatakan bahawa ia tidak mengadakan kejahatan itu - ia hanya berbuat menurut apa yang telah diadakan dan telah banyak dikerjakan orang lain sebelumnya.

Orang yang mengada-adakan sesuatu dalam agama (bid'ah) yang tidak sesuai dengan syara' maka adalah berdosa dan amalan dikembalikan serta mendapat amaran keras. Nabi s.a.w. telah bersabda :

"Barangsiapa mengada-adakan suatu (bid'ah) atau menolong (memperlindungi) orang yang mengadakannya, maka atasnya kutukan Allah s.w.t."

Wallahua'lam


Barakallahufikh... =)


MENDAMBAKAN CINTA ALLAH



Tiada ulasan:


Sapa2 nak dengar ceramah MP3, sila beri emel anda kepada saya dengan menge'send' emel kepada saya via:

1- facebook
2- ruang komen
3- ruang shoutbox
4- emel (sixiangjia1786@gmail.com)
5- henset (01x-xxxxxxxx)
6- pos express
7- burung merpati

Antara tajuk yang ada dalam koleksi :
1- Ustaz Shamsuri Hj Ahmad
*Kitab Muhimmah
*Kitab Bahrulmazi
*Kitab Nurul Ihsan

2- Ustaz Azhar Idrus
*Kitab Asas Fardhu Ain

3- Ustaz Ismail Kamus
4- Ustaz Harun Din
5- Ustaz Zahazan Mohamad (Tafsir)

Jum sama2 menuntut ilmu..