"Dari Abu Abd al-Rahman Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Telah menceritakan kepada kami oleh Rasulullah s.a.w. dan ia benar lagi dibenarkan, sesungguhnya salah seorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah seperti yang demikian itu, kemudian jadi seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya dan diperintahkannya menulis empat kalimat, iaitu rezekinya dan umurnya dan amalnya dan celakanya atau bahagianya. Maka demi Allah s.w.t. yang tidak ada Tuhan selainnya, sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan dengan amal ahli Syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara Syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan dengan amal ahli Neraka, maka masuklah ia ke dalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan dengan amal ahli Neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara Neraka melainkan sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan pula dengan amal ahli Syurga, maka masuklah ia kedalamnya."*Riwayat Bukhari dan Muslim
Pengenalan
Hadith diriwayatkan oleh Abu Abd al-Rahman Abdullah bin Mas'ud bin Ghafil bin Habib al-Hazali. Beliau antara orang terdahulu memeluk Islam. Beliau yang amat berani telah membaca Al-Quran di Mekah secara terang-terangan hingga pernah diseksa kerana itu. Beliau merupakan khadam Rasulullah s.a.w. yang setia, tidak pernah berenggang dari Rasulullah s.a.w. Beliau terkenal sebagai penyimpan rahsia Rasulullah s.a.w. Beliau seorang kurus badannya, hitam warnanya lagi pendek. Suatu hari para sahabat Rasulullah s.a.w. mentertawakan kerana kakinya yang kurus. Saat itu Rasulullah s.a.w. berkata: Bahawa kaki Abdullah dalam timbangan lebih berat dari Bukit Uhud. Sebab itu tak usahlah diketawakan kerana kurus kedua belah kakinya, kerana yang menjadi ukuran ialah amalnya dan bukan kedua belah kakinya. Menurut riwayat ada sebanyak 848 hadith disebut dalam kitab Bukhari dan Muslim.
Ciptaan manusia dengan beransur-ansur
Hadith menerangkan asal permulaan manusia dan ketentuan dirinya sebelum lahir, supaya manusia mengerti asal dirinya yang dicipta dari tanah atau dari air mani yang berasal dari tanah. Kemudian setelah hidup dalam jangka waktu tertentu sampailah ajalnya dan dia menjadi mayat(bangkai) yang dikebumikan dalam tanah. Manusia diciptakan dari air mani dengan beransur-ansur, iaitu air mani dikumpulkan dalam perut ibu selama 40 hari, kemudian peralihan kedua selama 40 hari untuk membesar, dan 40 hari peralihan ketiga iaitu menjadi seketul daging iaitu besar daging yang dapat dikunyah-kunyah. Ketika peralihan ke-3 inilah, seketul daging itu mendapat bentuk ciptaan seorang manusia menurut kehendak Allah s.w.t. - dimulai melengkapkan pancaindera, dijadikan alat pendengaran, penglihatan, penciuman, dan mulut serta diadakan dalam rongga perut apa yang disebut perut besar dan perut kecil. Firman Allah s.w.t.;
"Ia yang membentuk kamu di dalam rahim menurut bagaimana yang ia kehendaki"
Kemudian, apabila berakhirnya 40 hari peralihan ke-3 itu, maka telah berumurlah segumpal daging yang telah dibentuk 4 bulan dan ditiupkan rohnya supaya ia hidup.
Ditulis 4 kalimat semasa dalam kandungan
Setelah kandungan itu hidup kerana ditiupkan rohnya oleh malaikat, maka diperintahkan kepada malaikat untuk ditulis 4 kalimat mengenai - rezekinya, ajalnya, amalnya, kesudahan nasib dirinya bahagia atau celaka. Waktu itu rezekinya telah ditetapkan banyak atau sedikit, dengan cara payah atau mudah, dari jalan haram atau halal. Demikian juga panjang pendek usianya, buruk baik pekerjaannya, celaka bahagia akhir hidupnya
Dalam riwayat Ibn Mas'ud yang lain (hadith yang lain) ada diterangkan bahawa apabila air mani telah bertempat dalam rahim, maka malaikat terus mengambil dengan tapak tangannya seraya berkata: Hai Tuhan! Adakah hendak dijadikan kejadian ini atau tidak? Apabila Tuhan menjawab: Tidak dijadikan; maka air mani itu dicampakkan ke dalam rahim berdarah dan tidak bernyawa. Tetapi kalau Tuhan menjawab: Jadikanlah! Maka malaikat itu berkata lagi: Adakah dia lelaki atau perempuan? Berbahagiakah orangnya atau celaka? Bagaimana rezekinya? Berapakah lama usianya? Dan di bumi manakah tempat kematiannya? Setelah itu Tuhan menjawab: Pergilah kepada Umm al-Kitab (Luh al-Mahfuz). Segala-galanya itu ada di sana. Kemudian malaikat pun pergi ke tempat tersebut lalu menyalin apa yang ada di situ hingga sifat-sifatnya yang kecil, semuanya lengkap. Demikianlah apa telah ditulis baginya adalah ketetapan bagi kehidupannya dalam dunia. Tetapi dia sendiri tidak mengetahui bagaimana tulisan itu, sebab bukanlah urusannya. Urusannya sebagai manusia adalah melaksanakan kewajipan dan bekerja menurut jalan dan sebabnya.
Sehasta saja dengan Neraka atau Syurga
Maksud hadith, orang yang celaka itu dalam masa hidupnya telah beramal dengan amal ahli Syurga, taat dan menjauhi larangan hingga tidak ada jaraknya dengan Syurga kecuali sehasta saja lagi, namun nasibnya malang kerana suratnya telah terlebih dahulu menetapkan yang ia ahli Neraka. Satu masa berubahlah hatinya, berubahlah sikapnya dan corak hidupnya sehingga ia mati berkeadaan demikian. Kerana itu, masuklah ia dalam Neraka.
Sebaliknya, orang yang berbahagia kerana mati dalam amal ahli Syurga. Walaupun sebelumnya ia banyak mengerjakan perbuatan ahli Neraka, disebabkan perubahan sikapnya dan kelakuannya, maka akhirnya ia dapat memasuki Syurga, berkat pekerjaannya yang baik dan amalnya yang diterima di bahagian akhir dari hayatnya.
Jelaslah bahawa tulisan kitab yang telah menetapkan akhir hayat dan kesudahan amal kita bagaimana. Kalau demikian, apakah faedah beramal dan mengapakah bersusah payah berusaha, tunggu sajalah keputusan taqdir? Inilah persoalan selalu timbul yang sungguh meragukan. Maka soalan ini pernah berbangkit pada zaman Rasulullah s.a.w.;
"Tidak ada seorang daripada kamu melainkan telah dituliskan tempat duduknya dari Neraka dan tempat duduk dari Syurga. Lalu mereka bertanya: Ya Rasulullah! Kalau begitu, maka apakah kami berserah saja kepada tulisan kami dan kami tinggalkan amal? Rasulullah bersabda: Beramallah kamu, maka semuanya akan dipermudahkan kepada apa yang telah dijadikan baginya. Adapun orang yang dari golongan bahagia maka ia akan beramal dengan amal golongan bahagia. Dan orang yang dari golongan celaka maka ia akan beramal dengan amal golongan celaka (Dalam hadith yang lain diterangkan : Bahawa orang yang bahagia akan dipermudahkan untuk amal orang bahagia sedang orang yang celaka akan dipermudahkan untuk amal orang yang celaka). Kemudian Rasulullah membaca ayat yang tersebut, iaitu:
"Maka adapun orang yang memberi dan berbakti dan mengakui dengan kebaikan, maka Kami akan permudahkan dia kejalan yang mudah. Dan adapun orang yang bakhil dan merasa terkaya dan mendustakan dengan kebaikan, maka Kami akan permudahkan ia kejalan yang payah." Surah Al-Lail : 5-10
Jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w. menitikberatkan hubungan dengan seorang. Kerana amal mendorongkan jalan kemudahan, dan kerananya pula akan terbuka arah tujuan dan padanya terdapat sebab-sebab yang menimbulkan kebahagiaan dan kecelakaan.
Apa yang seharusnya dilakukan ialah mengusahakan amalnya yang baik itu terus-menerus sepanjang hayat serta memperelokkannya, mengawasi dari perkara yang merosakkannya dan supaya selalu memelihara perjalanan hati atau jiwanya dari perubahan yang mendatangkan akibat yang celaka. Kerana perubahan inilah yang sangat ditakuti sekali dan kerana inilah Rasulullah s.a.w. sendiri membanyakkan berdoa supaya ditetapkan hati dengan sabdanya:
"Hai Tuhan yang mengubah segala hati! Tetapkanlah hatiku atas agamaMu."
Barakallahufikh.... =)
MENDAMBAKAN CINTA ALLAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan