"Dari Abu Abd al-Rahman Abdullah Ibn Umar r.a. katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Didirikan Islam atas lima (rukun): Syahadah (pengakuan) bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, dan mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji di Baitullah, dan puasa di bulan Ramadhan."*Riwayat Bukhari dan Muslim
Pengenalan
Hadith diriwayatkan oleh Ibn Umar, iaitu Abu Abd al-Rahman Abdullah Ibn al-Khattab. Beliau memeluk Islam di Mekah bersama ayahnya sewaktu masih kecil lagi. Semasa perang Tabuk, beliau tidak diperkenankan untuk turut berperang kerana masih muda. Namun pada perang Khandak dan seterusnya, beliau turut berperang bersama-sama umat Islam. Banyak ahli hadith meriwayatkan hadith Rasulullah s.a.w. daripada beliau, sebanyak 1630 hadith. Beliau seorang sahabah yang sangat kuat mengikuti sunnan Rasulullah dan sangat banyak menderma, kadangkala mencapai 3000 dirham pada satu masa.
Islam didirikan atas 5 sendi
Pada awal hadith, Rasulullah menerangkan Islam didirikan daripada 5 sendi asas yang menjadi rukunnya amat penting. Umat Islam wajib mengerjakan sendi-sendi ini menurut ketentuan hukum. Selain lima sendi ini, ada perkara lain menjadi cabangnya. Kegoncangan atau keruntuhan salah satu sendi ini menyebabkan kurangnya nilai orang Islam. Sendi (rukun) ini diibaratkan seperti tiang, jika rumah tiada tiang yang membinanya walaupun satu rosak, maka hancurlah rumah itu.
Syahadah, Sembahyang, Zakat, Haji, Puasa
Syahadah ialah penyaksian atau pengakuan. Pengakuan ini dilahirkan oleh perkataan yang terbit dari keyakinan hati, keyakinan yang dihasilkan dari ilmu pengetahuan. Maksud syahadah ialah pengakuan keimanan kepada Allah s.w.t. dan RasulNya. Syahadah merupakan sendi pertama dalam Islam, sekiranya tiada syahadah maka tidaklah ada Islam itu sama sekali, dan tiada gunalah amalannya.
Mendirikan sembahyang bererti melaksanakan dengan khusyu' dan sebaik-baiknya, memikirkan makna dan mengenang Allah s.w.t. dengan segala kebesaranNya. Jika seseorang mendirikan sembahyang, hendaklah segala anggotanya zahir dan batin - hati, jiwa, perasaan, fikiran mestilah sama-sama mendirikan sembahyang supaya sempurna pengertian sembahyang sebenarnya.
Mengeluarkan zakat bererti memberi secara ikhlas kepada orang-orang yang berhak menerimanya dari bahagiannya yang telah ditentukan. Zakat ialah ibadat, dan ibadat ialah iman. Sebagaimana seteguh mana imannya, begitulah jua seikhlas hatinya memberi zakat bila-bila masa diperlukan. Jika lemah iman seseorang, maka banyak helahnya dalam memberi zakat. Orang yang enggan mengeluarkan zakat dipandang sebagai penjenayah dalam Islam dan dia adalah musuh Allah s.w.t. dan masyarakat. Jika ramai golongan 'penjenayah' ini dalam suatu masyarakat, maka besarlah kemungkinan disengsarakan kehidupan sekelian manusia seperti hadith Rasul s.a.w.:
"Bahawa tidak menegah satu kaum akan zakat melainkan akan dicegah turunnya hujan dari langit, dan kalaulah tidak kerana binatang-binatang tidaklah dihujani mereka terus-menerus."
Mengerjakan haji bererti menunaikan segala pekerjaan di Mekah menurut peraturannya yang ditetapkan. Haji adalah ibadat yang memerlukan syarat tertentu bagi orang yang hendak mengerjakannya. Haji juga melambangkan penyatuan umat yang bersatu qiblat dan bersatu pandangan hidup. Haji hendaklah dikerjakan dengan ikhlas, dengan cara yang baik bukan hanya pada nama semata-mata. Ditegaskan di sini bahawa kini sudah menjadi budaya Melayu dalam mengerjakan haji untuk mendapat publisiti atau pangkat semata-mata. Harap budaya seperti ini dijauhkan daripada kita semua, insyaallah. Haji yang mabrur tiada balasannya kecuali di Syurga. Tanda haji mabrur itu menurut setengah ulama' ialah dia berkelakuan lebih baik daripada masa sebelumnya pergi haji. Dalam upacara pekerjaan haji, ada beberapa hikmah dan falsafat seperti;
1-Tawaf : Perhimpunan sekalian manusia mengelilingi Baitullah dan menandakan kesatuan jiwa walau berlainan bangsa
2-Wukuf di Padang Arafah : Membuktikan betapa rapatnya tali persaudaraan dan persahabatan di antara Islam walau bermacam jenis manusia
3-Melontar anak batu : Menunjukkan betapa pentingnya usaha mencegah kejahatan hawa nafsu dan menghalau dan melontar syaitan yang selalu menghalang pekerjaan baik
Mengerjakan puasa bererti menahan nafsu lahir dan batin selama sebulan pada bulan Ramadhan. Puasa wajib dilakukan oleh umat Islam untuk mendidik diri menjadi manusia yang insaf dan bertimbang rasa, terpelihara dari godaan nafsu yang selama ini belum puas. Puasa juga mestilah ikhlas dan hanya kerana Allah s.w.t., bukan kerana adat, ikutan, atau malu semata-mata.
Barakallahufikh... =)
MENDAMBAKAN CINTA ALLAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan