Ceramah

Isnin, 19 Mei 2008

Hadith 2/40

Dari Umar r.a. juga, katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang bersangatan putih kainnya, bersangatan hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorangpun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan kepada Nabi s.a.w. lalu dia menyandarkan kedua lututnya kepada dua lutut Nabi s.a.w. dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas kedua peha Nabi s.a.w. Kemudian ia berkata: Hai Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada Tuhan melainkan Allah s.w..t., dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah s.w.t., dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadhan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Ia berkata: Benarlah engkau! Maka kami pun tercengang kerana ia yang bertanya dan ia pula yang membenarkannya. Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal iman. Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah s.w.t., dan malaikatNya, dan segala kitabNya, dan para RasulNya, dan hari kemudian, dan engkau beriman kepada taqdir baikNya dan jahatNya. Ia berkata: Benarlah engkau! Kemudian ia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah s.w.t. seolah-olahnya engkau melihatnya, tetapi engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya ia melihat engkau. Akhirnya ia berkata (meneruskan pertanyaannya lagi),: Maka khabarkan kepadaku darihal hari Qiamat. Rasulullah s.a.w. menjawab: Tidaklah yang datang daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya. Kalau begitu, katanya: Khabarkan kepadaku dari tanda-tandanya sahaja. Rasulullah s.a.w. menjawab: Tanda-tandanya itu ialah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan. Kemudian ia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah s.a.w. bertanya: Hai Umar! Adakah engkau tahu siapa orang yang bertanya itu? Kataku: Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.

*Diriwayatkan oleh Muslim


Malaikat menjelma sebagai seorang manusia.

Sebagaimana Saidina Umar memberi penerangan di awal hadith, orang yang datang dengan cara sedemikian rupa serta luar biasa tingkah lakunya ialah seorang malaikat yang menjelma dirinya sebagai seorang manusia. Kedatangannya untuk mengajar Rasul dan umatnya mengenai hakikat Islam, Iman, Ihsan (Ikhlas), dan tanda-tanda hari qiamat.


Rukun Islam

Sepertimana kita sudah maklum, rukun Islam ada 5;

a) Syahadah
Syahadah merupakan satu-satunya pengucapan lidah melahirkan dan pengakuan hati, keinginan jiwa terhadap ketuhanan dan keEsaan Allah serta kebenaran RasulNya Muhammad s.a.w. sebagai seorang utusan yang akhir. Syahadah mengandungi tauhid - pengakuan Allah itu satu, satu pada zatNya, sifatNya dan perbuatanNya. Setelah itu, wajib diakui bahawa Muhammad s.a.w. itu RasulNya yang mendapat wahyu dan ajaranNya.

b) Mendirikan sembahyang
Mendirikan sembahyang adalah satu perintah yang diwajibkan setiap hari ke atas orang Islam. Mendirikan bermaksud melakukan menurut diperintahkan oleh Rasul sejak permulaan takbir, bacaan, perbuatan hingga akhir salam dengan hati penuh ikhlas dan taqwa. Sembahyang juga pembersih orang Islam dari segala bentuk kesalahan harian, seterusnya membersih hati. Kesucian hati adalah sumber segala kebaikan dan kehalusan budi.
"Dan dirikanlah sembahyang, kerana sesungguhnya sembahyang (dapat) melarang dari segala kejahatan dan kemungkaran" Al-Ankabut : 45

c) Mengeluarkan zakat
Zakat ialah ibadat harta benda dari seorang Islam. Zakat ialah penyucian dan penambahan, diwajibkan ke atas orang memiliki harta benda tertentu untuk mengeluarkan bahagiannya kepada orang-orang yang mustahak menerimanya menurut ketetapan hukum. Zakat yang dikeluarkan dengan jiwa suci murni dan dari harta yang suci menyebabkan peribadi seseorang itu terhindar dari sikap kedekut dan tamak kepada keduniaan.

d) Berpuasa Bulan Ramadhan
Berpuasa bermaksud mencegah nafsu lahir dan batin dari segala yang dilarang serta mengawasi gerak-geri badan dari melakukan suatu yang ditegah hukum. Setiap orang Islam wajib berpuasa. Puasa bukanlah setakat lapar sahaja tetapi mendidik peribadi menjadi orang yang patuh lagi berbudi serta sentiasa mengingati Allah s.w.t.

e) Mengerjakan haji
Setiap orang Islam yang cukup syaratnya wajiblah mengerjakan haji di Mekah. Orang menunaikan haji bukanlah untuk urusan dunia tetapi urusan agama. Haji menghendaki waktu dan tempat tertentu serta memerlukan perbelanjaan dan kesihatan badan, tidak sebagaimana ibadat lain yang boleh dilakukan di tempat sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w.;
"Jihad orang tua dan kanak-kanak dan orang lemah dan orang perempuan ialah haji dan umrah"


Rukun Iman

Rukun Iman terbahagi 6 rukun, menjadi dasar akidah atau kepercayaan orang lain. Iman tercipta melalui paduan antara 3 perkara - kepercayaan hati, pengakuan lidah, amal dengan segala rukun atau perintah.

a) Beriman kepada Allah s.w.t.
Percaya wujudNya sebagai Tuhan yang sempurna sifatNya secara mutlak, pencipta alam ini, penyusun peraturannya, pengatur perjalanannya. Ia Tuhan wajib disembah dan diakui kemuliaanNya, kekuasaanNya, dan dipatuhi hukum-hukumNya.

b) Beriman kepada sekelian malaikat
Malaikat dijadikan daripada cahaya, tidak lelaki dan tidak pula perempuan, selalu taat kepada Allah, patuh menjalankan tugas yang telah ditentukan. Antara malaikat itu ialah;
1-Jibril - Membawa wahyu kepada Rasulullah s.a.w.
2-Mikail - Membahagikan rezeki
3-Israfil - Meniup trompet pada hari kiamat
4-Izrail - Mencabut nyawa
5-Munkar & Nakir - Penyoal orang-orang mati dalam kubur
6-Raqib & Atid - Mencatat amal baik dan buruk manusia

c) Beriman kepada sekelian kitab
1-Zabur - Nabi Daud
2-Taurat - Nabi Musa
3-Injil - Nabi Isa
4-Al Quran - Nabi Muhammad s.a.w.
Al Quran mempunyai 30 juzuk, 114 surah, 6616 ayat, 77430 kalimah, 325345 huruf serta 500 ayat hukum.

d) Beriman kepada sekelian Rasul
Rasul penyampai dasar agama kepada umat manusia. Walau setinggi mana tahap akal, tidak berupaya mendapatkan agama dan hakikatnya, sebab agama tidak dapat diperolehi dengan kekuatan akal sahaja. Akal hanya mampu memikirkan apa yang telah ditunjuk oleh agama.Tugas sekelian Rasul adalah sebagai menyeru manusia kepada mentauhid Allah s.w.t. dan beribadat kepadaNya. Semua seruan itu berpusat kepada satu, iaitu seruan kepada menyembah atau mentauhidkan Allah s.w.t.

e) Beriman kepada Hari Qiamat
Hari Qiamat akan dibangkit dan dihitung segala amal manusia untuk diberikan balasan yang setimpal. Hari Qiamat juga adalah hari pembalasan. Hari biasa yang ada sekarang ialah hari melaksanakan amalan dan pekerjaan. Umat Islam mempunyai 2 hari - hari dunia dan hari akhirat. Kehidupan sebenarnya ialah di hari akhirat. Manusia akan dikumpulkan setelah mati di sana dan dibangkitkan untuk menghadapi persoalan baru. Mati pasti akan berlaku, cuma masanya dan bagaimana caranya tidak diketahui. Syurga(al-Jannah) adalah tempat kediaman untuk balasan orang beriman dan beramal soleh. Nama-nama Syurga selain al-Jannah ialah Darul Salam, Darul Khulud, Darul Muqamat, Jannatul Ma'wa, Jannatul Adn, al-Hayawan, al-Firdaus, Jannatul Naim, al-Maqam al-Amin. Neraka (al-Nar) adalah tempat azab untuk orang-orang yang dusta di dunia. Api Neraka bukan seperti api dunia tetapi darjat kepanasannya melebihi api dunia kerana api Neraka dicipta untuk pembakaran di akhirat. Nama-nama lain untuk Neraka ialah Jahannam(paling kerap disebut), Sa'ir, Saqar, Lazza, al-Hutamah. Semua Syurga dan Neraka mempunyai 7 masing-masing.

f) Beriman kepada Qada' dan Qadar
Kita wajib percaya bahawa Allah s.w.t. mengetahui perjalanan hamba-hambaNya dan mengawasi hal ehwal mereka serta mentadbir segala urusan mereka. Kita juga wajib percaya bahawa segala suatu yang berlaku dalam alam adalah dengan izinNya. Walaupun takdir kita telah ditetapkan, kita hendaklah berusaha dalam mencapai sesuatu tujuan, jangan hanya berserah semata-mata kepada takdir. Dan jika suatu tujuan kita tidak tercapai, jangan mudah kecewa dan terus menyalahkan takdir Allah s.w.t. Seorang yang beriman akan menerima segala takdir walau baik atau buruk dengan jiwa yang tenteram dan tidak lupa untuk berikhtiar dalam perkara yang mampu diikhtiarkan, sambil yakin kepada kuasa Allah s.w.t. adalah paling maha berkuasa.


Ihsan

Ihsan menurut pengertian dalam hadith ialah menyembah Allah s.w.t. seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat engkau. Menyembah Allah s.w.t. bererti mengabdikan diri kepadaNya. Segala amalan dan urusan ibadat ditumpukan kepadaNya, tidak kepada orang atau hal lain. Makam siddiqin - darjat orang yang beribadat benar lagi jujur kepada Tuhan Rab Al-Alamin.


Hari Qiamat / Al-Sa'at

Menurut hadith, hari Qiamat adalah pasti, cuma waktunya tidak diketahui, sehingga Rasulullah sendiri pun tidak mengetahuinya. Hanya Allah s.w.t. mengetahui bila hari itu tiba. Cuma berdasarkan hadith, Rasulullah memberi tanda-tanda berlakunya hari Qiamat;
1-Apabila hamba-hamba melahirkan tuannya
Terlampau banyak hamba dan anak-anaknya sehingga anak hamba mempunyai kedudukan seperti tuannya. Hamba-hamba dapat melahirkan raja-raja yang mengendalikan negara. Seorang melahirkan anak dari seorang hamba kemudian dijualkannya. Setelah besar, anak itu membeli pula akan ibunya sendiri. Banyak terjadi kerosakan dan kekacauan dan banyak berlaku kedurhakaan terhadap ibubapa.
2-Orang-orang miskin tidak berkasut dan tidak berpakaian, hidup hanya mengembala kambing, sudah dapat meninggi-ninggikan binaan dengan segala kemegahan.
Orang yang sengsara dahulunya tidak pernah berpakaian dan berkasut, sekarang telah dapat menegak, membangun dan meninggikan binaan dan gedung-gedung indah permai serta mendiaminya dengan kemegahan, dan dimiliki kekayaan dunia dengan kemegahan.


Pengajaran

1-Agama adalah dari Allah s.w.t. dan pengajarannya dalan dariNya juga. PengajaranNya itu hendaklah dipelajari oleh setiap orang beragama, memahaminya dan beramal dan beri'tiqad dengan cara dikehendaki oleh Allah s.w.t. dan RasulNya. Seorang berilmu hendaklah berterus terang mengenai hukum agama. Dalam memberi penerangan dan menjawab persoalan agama, kita hendaklah berterus terang jika tahu dan mengakui jika tidak tahu, jangan memberi kekeliruan dalam memberi hukum hanya kerana ingin menutup kekurangan ilmunya.

2-Agama terdiri daripada iman, Islam, dan ihsan. Seorang beragama wajib mempercayai dan mentaati segala 3 unsur itu.

3-Tidak ada siapa pun mengetahui ketibaan hari Qiamat itu bila. Jika ada orang mengakui tahu bahawa bilakah hari Qiamat itu, nescaya terang-teranganlah dustanya. Tambahan untuk tanda-tanda kiamat;

Tanda kecil
- Kurang ilmu dan amanah
- Pekerjaan fasiq dan khianat
- Pembunuhan yang tidak dibenarkan
- Kebanyakan ketua daripada golongan fasiq
- Banyak berlaku perkara menghinakan agama
- Kemenangan sering berlaku pada orang yang melakukan mungkar
- Orang melakukan perkara kebaikan dibelakangkan

Tanda besar
- Matahari terbit dari Barat (hanya satu dinyatakan, rujuk sumber lain)


Barakallahufikh... =)


MENDAMBAKAN CINTA ALLAH


Tiada ulasan:


Sapa2 nak dengar ceramah MP3, sila beri emel anda kepada saya dengan menge'send' emel kepada saya via:

1- facebook
2- ruang komen
3- ruang shoutbox
4- emel (sixiangjia1786@gmail.com)
5- henset (01x-xxxxxxxx)
6- pos express
7- burung merpati

Antara tajuk yang ada dalam koleksi :
1- Ustaz Shamsuri Hj Ahmad
*Kitab Muhimmah
*Kitab Bahrulmazi
*Kitab Nurul Ihsan

2- Ustaz Azhar Idrus
*Kitab Asas Fardhu Ain

3- Ustaz Ismail Kamus
4- Ustaz Harun Din
5- Ustaz Zahazan Mohamad (Tafsir)

Jum sama2 menuntut ilmu..