"Dari Amir al-Mu'minin Abu Hafs Umar Ibn Khattib radiyallahu 'anh, katanya : Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu"*Diriwayatkan oleh 2 imam iaitu Abu Abdullah Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn Al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari dan Abu al-Hussain Muslim Ibn al-Hajjaj Ibn Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi
Segala Amal bermula dengan Niat
Niat menurut bahasa ialah qasad(tujuan hati) dan iradah(kehendak hati). Dengan ada niat di hati, maka berlakulah suatu amalan dan pekerjaan. Sebagai contoh, Duduk di dalam masjid untuk berehat dan beriktikaf adalah sama. Namun niatlah membezakan antara kedua-duanya itu. Sama seperti solat, puasa etc adalah dikatakan ibadat.
Dalam kes itu, hanya niat yang membezakan martabat dan jenis ibadat seseorang itu. Niat yang ikhlas adalah kerana Allah s.w.t. Segala amalan seseorang akan dikatakan ikhlas jika niatnya itu hanya untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Niat yang terselit dihati ialah punca menentukan akibat sesuatu amalan itu. Baik amalan jika niatnya baik dan sebaliknya.
Perlu ditegaskan bahawa mengenai perkara yang haram, maka yang haram tetaplah haram. Orang yang berusaha mengumpulkan wang haram dengan niat baik, tetaplah tidak dianggap baik walaupun maksudnya baik. Samalah seperti lagu dakwah dan nasyid, jika ia melekakan umat dan tidak memberi dakwah dengan berkesan, tetap dianggap haram. Saya tidak memberikan contoh lagu artis lain, kerana perkara itu sudah tentulah haram. Oleh itu, saya lebih menerangkan kepada amalan yang kadangkala kita juga tidak sedar bahawa sesetengah amalan juga boleh jadi haram jika maksudnya lain.
Selain itu, hadith juga menerangkan bahawa martabat hijrah itu bergantung kepada niat seseorang. Jika hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya, maka itulah hijrah yang terbaik. Jika hijrahnya kerana wanita atau perkara dunia lain, maka itulah yang dia akan dapat.
Menurut Imam Nawawi, jenis amal terbahagi kepada 3 bahagian, iaitu
1) Ibadat hamba - amalan dikerjakan kerana takutkan Allah s.w.t.
2) Ibadat saudagar - amalan dikerjakan untuk mendapat syurga dan pahala
3) Ibadat merdeka - amalan dikerjakan kerana malu kepada Allah s.w.t. dan dilaksanakan atas hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang masih dalam kecuaian dan bimbang sama ada amalannya diterima atau tidak
Saidatina Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Mengapakah Rasulullah s.a.w. bersusah payah berdiri sembahyang waktu malam sehingga bengkak-bengkak dua belah kakinya padahal Allah s.w.t. telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang?"
Baginda menjawab, "Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur?"
Sebab-sebab merosakkan amal
Antara sebab merosakkan amal seseorang ialah kagum dengan amalannya dan rasa kesombongan dalam melakukan amalan. Ini merosakkan amal walau elok dan sempurna pada zahirnya. Sabda Rasulullah s.a.w.;
"Sedikit sahaja riya' itu adalah syirik"
Amal dicampuri riya' bukanlah amal bersih, malah amalan itu yang menipu diri. Rasulullah s.a.w. menamakan riya' jenis syirik adalah paling halus seperti sabda;
"Yang amat ku takuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil (halus)"
Kemudian ditanya lagi apakah syirik paling halus itu, maka jawab baginda - itulah riya'
Kadangkala hukum haram ada masanya dihukumkan halal, menurut hitungan qasad(tujuan hati) atau maksud orang melaksanakannya. Contohnya ialah haram menurut hukum jika seorang tidak menegur saudaranya lebih daripada 3 hari, tetapi jika kerana sebab diharuskan syarak maka tidaklah haram. Selanjutnya, haram perbuatan seseorang memungut barang di atas jalan jika untuk memilikinya, tetapi jika mahu memeliharanya sambil berusaha memulangkan kembali barangan itu kepada tuan haknya maka tidaklah haram.
Walaubagaimanapun, kita sebagai seorang umat yang berakal patut pandai menilai keadaan mana kita patut gunakan seperti kes di atas. Kita juga perlu pandai membezakan yang mana satu hak dan mana satu yang batil.wallahu'alam...
Barakallahufikh... =)
Mendambakan Cinta Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan