"Dari Abu Abdullah Al-Nu'man bin Basyir r.a. katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya yang hahal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala disekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternaknya) maka di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang haramnya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati."*Riwayat Bukhari dan Muslim
Pengenalan
Hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Abdullah al-Nu'man bin Basyir. Al-Nu'man adalah orang Ansar suku Khazraj. Ibunya seorang sahabat, saudara Abdullah bin Rawahah. Demikian pula ayahnya Basyir.
Suatu Yang Halal dan Haram
Sesungguhnya yang halal itu nyata dan terang, dan yang haram itu pun nyata dan terang. Yang halal itu tidak dilarang, tetapi yang haram itu dilarang. Perkara halal seperti memakan makanan dari biji-bijian atau tumbuh-tumbuhan atau daging binatang yang halal dan meminum minuman dari air susu atau lainnya selagi tidak ada larangannya. Dan juga memakai pakaian dari segala jenis benang atau bulu atau lainnya. Demikian pula bekerja atau berusaha mencari kehidupan dengan jalan yang dibenarkan. Perkara haram seperti memakan bangkai atau darah atau daging tulang lemak dan sepertinya dari binatang yang haram, dan meminum minuman memabukkan, serta berusaha mendapatkan rezeki dan keuntungan dari jalan kotor - curi, samun, judi, riba, tipu dsb.
Pengertian halal dan haram adalah umum diketahui, tetapi bagaimana terjadinya hukum itu tidaklah suatu perkara mudah dimengerti. Imam Syafi'i telah menetapkan bahawa haram itu:
"Barang yang tidak ada dalil dari syara' dengan mengharamkannya"
Menurut ketetapan ini, beliau menghukum halal setiap sesuatu yang tidak ada dalil untuk menentukan haramnya, termasuklah suatu sememangnya ada dalil menerangkan halalnya atau suatu yang didiamkan hukumnya - iaitu tidak ditentukan hukumnya. Imam Syafi'i memandang halal kerana tiada dalil pengharamannya. Beliau memilih jalan takhfif wal taisir (jalan meringankan dan memudahkan).
Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat dan menetapkan bahawa yang haram itu:
"Barang yang ada dalil dari syara' dengan halalnya."
Berdasarkan ketetapan ini pula, beliau menghukumkan tidak halal suatu melainkan apabila syara' telah menyatakan halalnya secara tegas. Suatu perkara yang didiamkan hukumnya haram kerana tiada dalil menunjukkan halalnya. Imam Abu Hanifah memandang perkara itu haram kerana tiada dalil menunjukkan halalnya. Beliau memilih jalan ihtiyad (jalan sejahtera dan terpelihara).
Merujuk kepada 2 takrif itu, perkara yang didiamkan hukumnya (tiada hukumnya) adalah punca perselisihan pendapat di antara 2 Imam terkenal itu.
Kesimpulannya, halal dan haram adalah perkara nyata dalam agama kerana hukumnya telah ditetapkan dengan dalil terang lagi tegas, hingga tidak diragukan lagi.
Perkara-perkara Yang Kesamaran
Tidak diyakinkan salah satunya kerana tidak terang halalnya dan haramnya oleh pertentangan antara 2 dalil. Syubhat ertinya kesamaran, tidak dipastikan adakah halal atau haram dengan cara tertentu. Di antara sebab syubhat adalah kerana pertentangan 2 dalil atau kerana ketiadaan nas yang terang padanya. Contoh syubhat ialah campuran antara halal dan haram, seperti campuran hartabenda dan wang ringgit. Perkara syubhat ialah perkara yang kesamaran hukumnya yang terletak di antara halal dan haram. Kerana ini, maka hukumnya tetap diragu-ragukan dan orang yang wara' tidak mahu kepada sesuatu yang syubhat untuk memelihara kesucian jiwanya dan melenyapkan keraguan perasaannya.
Rasulullah s.a.w. menerangkan keadaan orang memelihara diri dari syubhat, barangsiapa memelihara diri daripadanya dengan cara tidak mengerjakannya maka bererti ia telah memelihara agamanya dan kehormatannya dari sebarang tuduhan orang lain yang tidak mengetahui keadaan sebenarnya. Seorang Islam memanglah dikehendaki sedapat mungkin menjauhi perkara syubhat dan perkara mendatangkan tuduhan dan sangkaan buruk dari orang lain, supaya terpelihara agamanya dan kehormatan peribadinya. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah s.w.t. dah Hari Kemudian, maka janganlah ia berhenti pada tempat-tempat yang menimbulkan tohmah - tuduhan."
Kemudian Rasulullah s.a.w. pada hadith menerangkan perihal orang jatuh ke dalam syubhat. Katanya:
"Barangsiapa yang jatuh ke dalam syubhat, jatuhlah ia kedalam yang haram."
Mengenai pengertian ini Imam Nawawi menerangkan ada 2 kemungkinan
1- Orang yang mengerjakannya dengan sangkaan tidak haram
2- Orang yang mengerjakannya bererti akan jatuh kepada yang haram
Sebagaimana dikatakan orang bahawa segala maksiat itu perutusan kepada kufur, bererti bahawa apabila seseorang telah melakukan kedurhakaan, akan meningkat lagi kepada melakukan kerosakan (kejahatan) yang lebih besar daripadanya. Dapatlah dimengertikan bahawa orang yang pernah berbuat satu kejahatan akan berbuat lagi beberapa kejahatan yang lebih besar akibat dan bencananya dari yang mula sekiranya tiada pengawasan dari dalam dirinya sendiri atau dari luarnya.
Demikian juga orang biasa berbuat perkara syubhat. Walaupun pada mulanya tiada membahayakan pada zahirnya, tetapi kalau sudah kerapkali, tidak disedari telah terjerumus ke dalam perbuatan yang haram seperti sabda Rasulullah s.aw.:
"Orang yang melakukan syubhat itu samalah seperti seorang pengembala ternak yang mengembala disekeliling kawasan larangan yang hampir sangat ternaknya makan di dalamnya."
Maknanya orang melakukan syubhat seperti mengembala di sekeliling rumput yang digemari oleh ternaknya, yang pada suatu hari akan dimasukkinya kerana tak tahan lagi melihatnya dengan tidak memakannya. Lainlah jika mengembala di tempat jauh dari kawasan larangan, tentu tidak jadi seperti itu.
Kesimpulannya, orang melakukan suatu syubhat ditakuti jatuh kedalam perbuatan haram. Orang yang ingin memelihara kehormatan agama dan peribadinya sentiasa berusaha mengelak diri daripada syubhat kerana lebih selamat dan lebih mententeramkan jiwanya.
Kawasan Larangan
Menegaskan bahawa setiap raja ada kawasan larangannya, ditegah dimasuki sesiapa pun, jika ingkar akan dihukum. Samalah seperti Allah Tuhan yang Maha Besar dari segala besar, lebih-lebih lagi ada larangan sebagaimana yang diterangkan Rasulullah s.a.w.:
"Larangan itu ialah segala yang haramnya."
Yang dimaksudkan larangan Allah s.w.t. ialah segala macam maksiat yang ditegah dikerjakan sama ada berhubung diri atau jiwa mahupun bertalian kehormatan dan hartabenda dan lainnya seperti pembunuhan, perzinaan, pencurian, minuman memabukkan, pendustaan, tuduhan, penghinaan terhadap kehormatan, mengambil, menguasai dan memakan hartabenda dengan jalan tidak sah menurut hukum agama.
Larangan Allah s.w.t. untuk menyelamatkan penghidupan manusia di dunia, bukanlah menyekat kebebasan atau mengongkong kemerdekaan peribadi mereka. Kebebasan menurut agama bukanlah kebebasan liar mematuhi kehendak nafsu, tetapi kebebasan dalam lingkungan batas ditentukan.
Kesimpulannya, tiap-tiap yang haram itu ada batasan larangan yang melingkunginya. Berkhalwat dengan perempuan bukan muhrimnya adalah terlarang (haram) kerana membawa kepada suatu perbuatan haram yakni zina. Setiap orang hendaklah menjauhi yang haram yang telah nyata haram di samping batas larangan (seperti berkhalwat) jua diharamkan kerana membawa kepada yang haram.
Kedudukan Hati
Rasulullah s.a.w. menerangkan "Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya. Dan apabila rosak, rosaklah badan sekeliannya. Ketahuilah! Itulah hati."
Hadith menerangkan hati atau jiwa adalah pembentuk hidup seseorang. Dialah memegang peranan amat penting sekali dalam urusan menggerak atau memberhentikan, memperelok atau mencederakan perbuatannya sekalipun dia adalah terjadi dari seketul daging.
Rasulullah s.a.w. menjelaskan hati yang baik, menyebabkan segala badan menjadi baik. Hati yang baik ialah hati yang sentiasa ingat kebesaran Allah s.w.t., mematuhi perintahNya, menjauhi laranganNya, menghindari dari perkara-perkara syubhat takut terjatuh kepada yang haram. Dengan demikian, turutlah baik sekelian badan, terhentilah anggota dari berbuat suatu ditegah. Hati yang rosak ialah hati-hati yang dipengaruhi serta dikuasai sepenuhnya oleh hawa nafsu dan syahwat yang jahat, hingga tidak diendahkan lagi segala perintah, segala yang diharamkan atau yang syubhat, baginya adalah baik kerana kelazatannya, kesukaan dan kesenangan. Kerana itu rosaklah sekelian badan dan anggota kerana berbuat segala larangan yang menyebabkan bencana diri, akal, kehormatan, dan hartabenda.
Kesimpulannya, hati adalah raja bagi sekelian anggota. Maka wajiblah setiap orang memelihara kesucian hatinya kerana hatinya terletak segala punca dan sumber segala suatu. Malahan di hati juga dipusatkan keimanan dan keyakinan, sebagaimana Anas meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w.:
"Tidak lurus iman seorang hamba hingga lurus (lebih dahulu) hatinya."
Barakallahufikh... =)
MENDAMBAKAN CINTA ALLAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan