"Dari Abu Hurayrah Abdul Rahman bin Sakhr r.a. katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya barang yang kamu kuasa. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh kerana banyak segala pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka."*Riwayat Bukhari dan Muslim
Pengenalan
Hadith diriwayatkan dari Abu Hurayrah. Abu Hurayrah ialah Abdul Rahman bin Sakhr Al-Dus Al-Tamimi. Beliau pernah bertugas sebagai ketua kota Madinah selama 3 kali dan seorang yang banyak mengucap tasbih kepada Allah s.w.t. Keistimewaan beliau ialah kelebihan kedudukannya dalam meriwayatkan hadith dari Rasulullah s.a.w. disebabkan hubungan beliau teramat rapat dengan Rasulullah s.a.w. Hadith yang diriwayatkan melalui beliau sebanyak 5394 hadith.
Menurut Apa Yang Ditegah Dan Yang Diperintahkan Rasulullah
Segala yang dilarang Rasulullah s.a.w., iaitu segala yang haram dari segala macam rupa maksiat dan kejahatan - sama ada berhubung diri, masyarakat dsb. - hendaklah dijauhi, jangan dilakukan. Segala larangan Rasulullah s.a.w. adalah larangan Allah s.w.t. dan setiap larangan ada hikmat dan faedahnya. Diwajibkan setiap orang menghormati sepenuhnya larangan tersebut.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya barang yang kamu kuasa."
Segala yang diperintahkan dalam apa jua hal agama hendaklah dikerjakan menurut kadar termampu sesuai dengan kekuatan yang ada, dan tidak harus sama sekali dibantah atau dilawan atau dicuaikannya dengan pelbagai alasan dengan hajat tidak upaya dan lain-lainnya, tetapi mestilah dihormati dan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh menurut setakat terdaya dan kadar mampu bagi diri sebagaimana firman Allah s.w.t.:
"Maka takutlah kepada Allah barang sekuasa kamu." Al-Taghabun : 16
"Allah tidak memberi satu dari melainkan sekadar usahanya." Al-Baqarah : 285
Ulama fiqh dan hadith dalam menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil menetapkan bahawa "barangsiapa lemah (tidak berkuasa) mengerjakan suatu diperintahkan itu semuanya dan berkuasa mengerjakan setengahnya, maka hendaklah ia kerjakan sekadar yang dapat dilakukannya sahaja."
Contohnya, orang tidak dapat berdiri ketika bersembahyang bolehlah duduk atau berbaring. Tetapi orang yang tidak dapat berpuasa sepenuhnya kerana uzur tidaklah dikehendaki berpuasa setengah hari sahaja kerana cara itu tidaklah dari yang telah disyariatkan.
Kebinasaan Oleh Banyak Pertanyaan Dan Perselisihan Terhadap Nabi-Nabi
Difahamkan dari keterangan hadith bahawa mereka yang telah binasa dan rosak, bukan kerana kurang kekuatan mereka tetapi kerana banyak sangat pertanyaan yang sengaja mereka ada-adakan, atau banyak pula masalah yang mereka reka-rekakan sebagai tanda bantahan terhadap perintah yang diminta mereka kerjakan. Mereka tidak sedar bahawa kerana banyak pertanyaan, banyak pula jawapann yang pada hakikatnya menambahkan lagi kesusahan mereka.
Contohnya kisah baqarah (lembu betina) yang diperintah kepada bani Israel untuk disembelih kerana sebab tertentu. Menurut asal perintah, mereka boleh sembelih mana-mana lembu yang mereka kehendaki. Tetapi mereka meminta penjelasan tentang umurnya, warnanya, dan hal lain mengenai keadaan lembu yang perlu disembelih. Dengan demikian mereka sendiri menyusahkan diri mereka kerana lembu yang dikehendaki tidak mudah didapati melainkan seekor sahaja dan harganya teramat mahal. Namun mereka terpaksa juga membelinya untuk disembelih.
Pertanyaan ada banyak jenis, antaranya:
1- Pertanyaan orang yang tidak tahu akan kewajipan agama seperti berwudhuk, sembahyang, puasa dsb. yang dari hukumnya wajib diketahui dan dipelajari untuk diamalkan.
2- Pertanyaan orang yang hendak menambah pengertian dan kefahaman dalam suatu masalah dalam agama.
3- Pertanyaan orang dalam perkara yang tidak difardhukan Allah s.w.t. Pertanyaan jenis inilah yang hanya mendatangkan kesukaran sahaja seperti telah diterangkan dalam hadith.
Nabi pernah menyatakan "bahawa suatu yang didiamkan itu adalah rahmat untuk kamu, maka janganlah bertanyakan lagi."
Hadith tersebut bukanlah melarang kita daripada bertanya, tetapi hanya melarang kita bertanya yang bukan-bukan, yang tiada hubungan dengan ilmu. Kadangkala pertanyaan seperti itu hanya menyulitkan dan menyempitkan hukum agama. Ibn Umar pernah berkata, "Janganlah kamu bertanya perkara yang belum ada masalahnya. Kerana aku pernah mendengar Umar r.a. mengutuk orang yang bertanya kepadanya perkara yang belum berlaku."
Barakallahufikh... =)
MENDAMBAKAN CINTA ALLAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan