(4) Berjumpa Dengan BomohBerjumpa dengan orang yang mengetahui ilmu ghaib dapat mencemari kemurnian tauhid kerana ilmu ghaib hanya dimiliki Allah s.w.t. Ilmu ghaib ialah pengetahuan yang tidak dapat diperolehi melalui deria manusia, seperti masa hadapan, isi hati manusia dsb.
"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja." Al-An'aam : 59
Pengetahuan ilmu ghaib juga tidak diketahui sesiapa malah Rasulullah s.a.w.:
"Katakanlah: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah." Al-Naml : 65
"Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan." Al-A'raaf : 188
Apa-apa ilmu ghaib yang dikhabarkan Rasulullah s.a.w. seperti kehidupan alam kubur dsb adalah daripada apa dikhabarkan dari Allah s.w.t.:
"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya). Al-Jin : 26-27
Sesiapa mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib, dia seorang pendusta. Lebih dari itu dia cuba menjadi sekutu Allah s.w.t. Oleh sebab itu Rasulullah s.a.w. melarang kita mengunjungi orang-orang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.
Larangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib adalah larangan yang besar sebagaimana hadis berikut daripada Rasulullah s.a.w.:
"Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama 40 malam."
Terdapat beberapa sebab di sebalik larangan ini:
1- Pengetahuan tentang ilmu ghaib hanya diketahui oleh Allah s.w.t. Apabila seseorang mendakwa dirinya mampu mengetahui ilmu ghaib, maka dia meletakkan dirinya sejajar dengan Allah s.w.t.
2- Apabila seorang Muslim mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, bererti dia mengiktiraf orang tersebut sebagai mampu mengetahui hal ghaib. Sepatutnya seorang Muslim menolak orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan tidak mengunjunginya kecuali untuk memberi nasihat akan kesalahan tindak tanduknya.
3- Sekalipun pengunjung pada awalnya tidak mempercayai khabar yang diberikan oleh orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, dia kemudian akan mempercayai orang tersebut jika khabar yang diberikannya menjadi sesuatu yang benar-benar berlaku. Ini akhirnya akan mengakibatkan pengunjung membenarkan apa yang dikhabarkan oleh orang tersebut.
Di Malaysia, orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, atau ringkasnya bomoh, terbahagi 2 kategori:
1- Mereka yang tidak mengetahui apa-apa tetapi bijak membuat khabar sehingga dipercayai oleh orang yang mengunjungi mereka. Khabar-khabar yang disampaikan oleh bomoh dalam kategori ini sudah ditentukan sejak awal lagi. Contohnya:
a) Mereka memulakan 'upacara' dengan bacaan al-Quran dan zikir-zikir tertentu sebagai solekan bagi memberi pengaruh palsu kepada pengunjung bahawa mereka sebenarnya membuat 'upacara' yang selari dengan Islam.
b) Mereka berlakon seolah-olah sedang berfikir dengan khusyuk untuk memberi keyakinan kepada pengunjung bahawa mereka serius untuk membantu.
2- Mereka yang mampu memberi khabar secara tepat lagi terperinci. Khabar yang sebegitu terperinci yang disampaikan oleh jin peliharaan bomoh. Ada khabar yang tepat serta memberi keyakinan kepada pengunjung tetapi ada juga khabar yang dusta yang sengaja dilakukan jin. Jin sengaja membuat dusta kerana:
a) Supaya berlaku pertengkaran antara 2 orang Muslim yang memang digemari golongan jin kafir dan fasiq.
b) Supaya pengunjung tersebut meminta bantuan bomoh untuk membalas dendam kepada orang 'menganiayanya'. Lazimnya bomoh akan mendapat pengeras tambahan untuk tujuan ini.
c) Jin menghendaki sembelihan haiwan dilakukan atas nama mereka atau kerana mereka. Oleh demikian, jin tersebut berjaya menyesatkan seorang Muslim dan menjerumuskannya ke dalam kesalahan agama. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Allah melaknat orang yang melaknat ibubapanya, Allah melaknat orang yang menyembelih kerana selain Allah, Allah melaknat orang yang melindungi seorang ahli bid'ah dan Allah melaknat orang yang mengubah sempadan tanah."
Hukum mengunjungi bomoh kategori kedua ini adalah jauh lebih berat daripada bomoh kategori pertama. Mereka mendakwa mengetahui hal ghaib dengan khabar-khabar dusta yang akhirnya memfitnah orang yang tidak bersalah. Lebih dari itu menyebabkan bomoh dan pengunjung terpaksa melakukan amalan dilarang Islam - meminta bantuan jin, tidak kepada Allah s.w.t.
Mengenai penggunaan jin Muslim, bagaimana kita dapat membuktikan bahawa jin itu adalah Muslim dan berada di atas jalan benar? Kerana masyarakat jin itu sendiri terbahagi kepada beberapa aliran dan mazhab. Terdapat beberapa ukuran membezakan jin Muslim yang benar:
a) Jin tersebut mengakui bahawa dia tidak mengetahui perkara ghaib dan apa-apa manfaat yang bakal berlaku.
b) Jin tersebut menasihatkan agar tidak menggunakan apa-apa khidmatnya kerana ia tidak lain hanya menambah dosa dan kesalahan.
c) Jin tersebut menasihatkan bahawa kebanyakan daripada kalangannya lazim berdusta dengan percakapan yang indah agar dapat memperdayakan pendengarnya. Jin berani memperdayakan para Nabi, inikan pula kita hanya manusia biasa:
"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya." Al-An'aam : 112
d) Jin tersebut mengingatkan bahawa menggunakan pertolongan mereka hanya menempah tempat di dalam api neraka.
e) Jin tersebut menerangkan bahawa menggunakan khidmatnya hanyalah sesuatu yang dikhususkan lazimnya oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Sulaiman a.s., tidak kepada manusia lain.
Ringkasnya, jin Muslim tidak akan menawarkan khidmat kepada bomoh, tetapi sekadar menasihatkan mereka dengan ayat-ayat Al-Quran.
akan datang insyaallah:
(5) Percaya horoscopes
(6) Percaya sesuatu dapat bawa nasib baik@buruk
(7) Guna tangkal@azimat
(8) Jampi yang tidak difahami
(9) Harapkan pengaruh makhluk dalam berdoa
(10) Ubah syariat Allah
(11) Cintakan sesuatu lebih daripada Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan