“Dari Abu Hurayrah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia muliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia muliakan tamunya.”*Riwayat Bukhari dan Muslim
Pengenalan
Hadith mengandungi nilai adab dalam Islam, sopan santun terpuji. Seorang beriman hendaklah menjaga adab untuk
memelihara keselamatan diri, serta memelihara perkataannnya, demi menjaga hubungan dengan jiran-jiran, sahabat-sahabat. Selain itu hendaklah memuliakan mereka sesuai mengikut keadaan. Tuntutan iman ialah berkata yang baik lagi berfaedah ataupun diam, memuliakan jiran sekurang-kurangnya tidak menyusahkan dirinya sendiri dan menyuruh agar kita meraikan tetamu.Berkatalah Yang Baik Atau Diam
Pada awal hadith, Rasulullah s.a.w. menerangkan sifat baik dan adab bagi orang beriman adalah berkata yang baik atau diam, muliakan jiran dan tetamu. Maksud hadith apabila berkata hendaklah dia berfikir. Apabila tiada bahaya atasnya, berkatalah, tetapi, apabila sebaliknya, diamlah. Abu al-Qasim al-Qushairi berkata : Diam yang tepat pada waktunya adalah sifat orang-orang besar, dan berkata pada waktunya adalah perkara yang sangat mulia.
Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya sentiasa mengawasi setiap perkataan yang diucapkan, terutamanya bagi orang-orang yang beriman. Selain itu hendaklah biasakan diri dengan berdiam kalau ada faedahnya. Tetapi diam juga boleh jadi tercela jika diam bukan pada tempatnya – diam dari mengatakan hak dan menegur suatu yang salah.
Bercakap tidaklah dilarang secara umum dan berdiam tidak pula disuruh dengan mutlak – bergantung kepada apa yang cuba disampaikan. Secara mudahnya, apa yang dikatakan seorang kalau tidak berhati-hati lebih banyak mendatangkan penyesalan dan mungkin pula menyebabkan dosa. Pernah diriwayatkan dari Nabi s.a.w. katanya: 90% dari kesejahteraan itu terdapat pada diam kecuali waktu zikr kepada Allah.
Muliakan Jiran Dan Tetamu
Iman yang sempurna menghendaki supaya memuliakan jiran dan tetamu sesuai dengan hak masing-masing. Adapun yang dikatakan jiran ialah :
1-Orang yang tinggal serumah dengan kita
2-Orang yang berdekatan rumah dengan kita
3-Orang yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 buah rumah dari rumah kita di segala jurusan
4-Orang yang tinggal senegeri dengan kita
Menurut hadith, jiran mempunyai 3 hak :
1-Jiran yang mempunyai 1 hak – jiran musyrik yang tiada sebarang hubungan kecuali hak jiran
2-Jiran yang mempunyai 2 hak – jiran Islam, iaitu hak Islam dan hak jiran
3-Jiran yang mempunyai 3 hak – jiran seorang Islam yang mempunyai hubungan kerabat (keluarga), iaitu hak jiran, hak Islam dan hak kerabat
Memuliakan jiran adalah budi pekerti utama dan orang beradab mulia. Ada hadith menerangkan betapa perlu bertimbangrasa dalam pergaulan sesama jiran. Di antara hadith menyatakan : Bahawa bukanlah orang yang beriman itu orang yang kenyang, sedang jirannya lapar. Pernah Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abu Dzar al-Ghifari : Bahawa apabila engkau masak kuah, banyakkanlah airnya dan berilah kepada jiran engkau.
Pernah dikatakan kepada Rasulullah s.a.w. hal seorang perempuan yang bersembahyang pada waktu malam, dan berpuasa pada waktu siang. Tetapi sayang sekali, lidahnya jahat selalu menyakiti jirannya. Rasulullah s.a.w. bersabda : Tidak ada kebaikan padanya. Dia dalam neraka.
Memuliakan tetamu bermaksud melakukan kebaikan kepadanya sebagai orang yang datang, dan melayannya dengan cara yang sopan menurut keadaan sesuai serta memberi jamuan menurut kadar yang mampu. Seorang yang berkewajipan memuliakan tetamunya akan menunaikan kewajipannya itu menurut kadar yang tidak menyusahkannya. Ada riwayat menyatakan larangan mengenai memberatkan tanggungan kerana tetamu. Ada pula hadith menyatakan, tiada halal seorang mendiami disisi seorang yang lain hingga menyusahkannya.
Barakallahufikh... =)
MENDAMBAKAN CINTA ALLAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan