Ceramah

Ahad, 1 Jun 2008

11 Perkara Mencemari Kemurnian Tauhid (Part 1)

Pengenalan

Sebelum memulakan bicara, ingin saya memberitahu pembaca semua bahawa segala ilmu merujuk kepada buku "11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid" karangan saudara Hafiz Firdaus Abdullah terbitan Perniagaan Jahabersa.

Tauhid ialah bersaksi dengan kalimah tauhid "La ila ha illaLlah", bersaksi bahawa tiada tiada Tuhan atau apa-apa jua kecuali Allah yang mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan suatu kebaikan atau keburukan, mengabulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syariat dan sebagainya.

Tauhid yang murni adalah apabila keesaan Allah tidak disekutukan dengan sesuatu apa jua.
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua" al-Nisa : 36

Pencemaran kemurnian tauhid ialah mencampur-adukkan keimanan kepada tauhid yang murni dengan syirik.

Orang yang meyakini atau melakukan sesuatu yang mencemari kemurnian tauhid tidaklah dihukum musyrik serta-merta. Manhaj Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah menghukum pada perbuatan, tidak pada pembuatnya. Ini kerana orang membuatnya mungkin:
1- Tidak tahu bahawa ia adalah satu kesalahan
2- Terkeliru antara betul dan salah
3- Terpaksa melakukannya

Tanggungjawab kita ialah menerangkan seseorang tentang perkara mencemari kemurnian tauhid dan bukan terus menghukum seseorang itu sebagai seorang musyrik


(1) Menggelar Alam Ini Sebagai "Alam Semula Jadi"

Sebahagian orang menggelar alam ini sebagai "alam semula jadi", "Mother Nature" dan seumpamanya. Gelaran ini adalah salah kerana alam ini tidak terjadi dengan sendirinya. Alam ini adalah ciptaan Allah s.w.t., seperti firmanNya:
"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekelian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekelian alam." Al-A'raaf : 54

Keindahan alam ini sepatutnya menjadi faktor mengingatkan kita kepada Allah s.w.t., tidak sebaliknya. Oleh itu kita sepatutnya menggelar alam ini sebagai "ALAM CIPTAAN ALLAH".


(2) Menganggap Makhluk Wujud Melalui Proses Evolusi

Sebenarnya teori ini adalah teori semata-mata bagi menjustifikasi kebingungan kaum Athies yang tidak mempercayai wujudnya Tuhan yang Maha Mencipta. Mereka mencari asal-usul kewujudan makhluk melalui pemikiran dan fakta sains. Tanpa disedari, teori ini tidak dapat memberikan jawapan muktamad kepada mereka. Paling kurang terdapat 3 persoalan:
1- Jika benar semua makhluk asalnya berevolusi daripada satu sel, bagaimana pula sel pertama boleh wujud?
2- Jika benar sel tersebut menjadi makhluk-makhluk tertentu, apa menyebabkan sel tersebut mampu berevolusi?
3- Jika benar sel tersebut berevolusi, apakah kuasa mengatur proses tersebut hingga lancar sebegitu rupa membentuk makhluk yang sempurna? Sekiranya proses evolusi, sudah tentu tidak teratur, menjauhi kesempurnaan.

Bagi semua umat Islam, semua makhluk termasuk manusia adalah ciptaan Allah s.w.t., bukan melalui evolusi. Allah s.w.t. telah berfirman:

Dalil penciptaan manusia;
"Dan (ingatlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya rohKu, maka hendaklah kamu sujud kepadanya." Al-Hijr : 28-29

Dalil penciptaan makhluk lain;
"Dia (Allah) menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu dan Dia biakkan padanya pelbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat." Al-Luqman : 10

"Mencipta" adalah sifat Allah s.w.t. manakala "Dicipta" bukan sifat Allah s.w.t. Semua makhluk adalah dicipta dan mempunyai asal-usulnya, tidak Allah s.w.t.;
"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada apa jua yang serupa denganNya." Al-Ikhlas : 1-4

Jika golongan yang percaya kepada teori evolusi bertanya mengenai kesamaan fosil spesis kera dan manusia zaman tertentu, ada 2 kemungkinan:
1- Hanya kebetulan. Kesamaan fosil tidak bermakna kesamaan makhluk. Ini tidak dapat dipastikan bahawa 'pemilik' fosil itu adalah makhluk berakal atau tidak, kerana perbezaan manusia dan haiwan adalah akal yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada manusia.

2- Kesamaan itu mungkin benar, tetapi tidak membuktikan bahawa spesis kera itu yang telah berevolusi menjadi manusia. Mungkin sebaliknya, iaitu manusia yang berevolusi menjadi spesis kera tersebut. Al-Quran telah mencatit sebahagian manusia, oleh kerana tindakan mereka melanggar hukum Allah, mereka telah dihukum berubah menjadi kera.;
"Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina. Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa." Al-Baqarah : 65-66

Tujuan Allah s.w.t. menghukum mereka menjadi kera tidak sekadar sebagai peringatan kepada orang hidup pada saat itu, tetapi juga kepada orang hidup selepas itu. Lagi penting, ia menjadi peringatan kepada manusia secara umum dan orang bertaqwa secara khusus bahawa akibat daripada melanggar perintah larangan Allah s.w.t. adalah amat berat.

Walaubagaimanapun, kemungkinan tetaplah kemungkinan, masih perlu dibuktikan secara ilmiah. Semua ini membuka ruang luas bagi pengkaji Islam. Kita tidak boleh mengharap kepada pengkaji bukan Islam kerana seandainya mereka menemui bukti ilmiah bahawa spesis kera tertentu sebenarnya berasal daripada manusia, mungkin mereka menyembunyikannya untuk menyorok kebenaran Al-Quran dan sekaligus menutup hakikat kebenaran Islam.

Kesimpulannya, kewujudan makhluk adalah hasil ciptaan Allah s.w.t. dan bukannya proses evolusi. Lebih daripada itu, kewujudan makhluk-makhluk ini sepatutnya menjadi isyarat kepada manusia bahawa kekuasaan Allah s.w.t. yang mencipta semuanya - Maha Mencipta lagi Maha Berkuasa.

"Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya. Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran." Al-Jathiyah : 3-5

akan datang insyaallah:
(3) Menganggap kesatuan wujud antara Allah dan makhluk
(4) Berjumpa bomoh
(5) Percaya horoscopes
(6) Percaya sesuatu dapat bawa nasib baik@buruk
(7) Guna tangkal@azimat
(8) Jampi yang tidak difahami
(9) Harapkan pengaruh makhluk dalam berdoa
(10) Ubah syariat Allah
(11) Cintakan sesuatu lebih daripada Allah

Tiada ulasan:


Sapa2 nak dengar ceramah MP3, sila beri emel anda kepada saya dengan menge'send' emel kepada saya via:

1- facebook
2- ruang komen
3- ruang shoutbox
4- emel (sixiangjia1786@gmail.com)
5- henset (01x-xxxxxxxx)
6- pos express
7- burung merpati

Antara tajuk yang ada dalam koleksi :
1- Ustaz Shamsuri Hj Ahmad
*Kitab Muhimmah
*Kitab Bahrulmazi
*Kitab Nurul Ihsan

2- Ustaz Azhar Idrus
*Kitab Asas Fardhu Ain

3- Ustaz Ismail Kamus
4- Ustaz Harun Din
5- Ustaz Zahazan Mohamad (Tafsir)

Jum sama2 menuntut ilmu..