Ceramah

Khamis, 29 Mei 2008

Hadith 7/40

Dari Abi Ruqayyah Tamim bin Ausin Al-Dari r.a., bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Agama itu nasihat. Kami berkata: Bagi siapa? Ia bersabda: Bagi Allah dan bagi KitabNya dan bagi RasulNya dan Imam-Imam kaum Muslimin dan bagi orang ramai mereka.

*Riwayat Muslim


Pengenalan

Diriwayatkan dari Abi Ruqayyah Tamim bin Ausin Al-Dari. Beliau pada mulanya berugama Nasrani, kemudian memeluk Islam sewaktu di Madinah.

Menurut Imam Nawawi, nasihat adalah wajib sekadar mampu dengan syarat seorang itu mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima, suruhannya akan dipatuhi dan dirinya tidak terancam. Tanpa syarat ini maka tidaklah diwajibkan.

Hadith ini menunjukkan bahawa nasihat menurut pengertian Rasulullah s.a.w. amatlah mustahak, hingga agama dikatakan nasihat. Tiada pengertian agama jika tiada nasihat, tiada kesedaran orang beragama jika tiada peringatan dari nasihat-nasihat agama.


Agama Itu Nasihat

Agama itu adalah kata-kata Rasulullah s.a.w. - nasihat. Nasihat itu adalah bagi Allah s.w.t., KitabNya, dan RasulNya. Agama itu terletak pada nasihat. Sebab nasihat mengandungi taat kepada Allah s.w.t. dan RasulNya, beriman serta beramal dengan KitabNya dan sunnah RasulNya.


Nasihat Bagi Allah s.w.t., KitabNya, Bagi RasulNya.

Maksud nasihat bagi Allah s.w.t. ialah beriman kepadaNya menurut pengertian sebenarnya serta menghapuskan sama sekali sebarang sifat dan bentuk penyekutuan bagiNya dalam i'tikad dan beramal menurut diperintahkanNya, meninggalkan apa dilarangNya, mengingati apa dilarangNya, mengingati kebesaranNya di atas segala kebesaran, mensyukuri nikmatNya dengan menggunakan di jalan baik dan sejahtera. Inilah nasihat Allah s.w.t. yang pada hakikatnya untuk diri sendiri kerana Allah s.w.t. tidak memerlukan sebarang nasihat dari seorang hambaNya.

Maksud nasihat bagi kitabNya ialah beriman kepada kebenaranNya dengan beramal mengikut petunjuk dan pengajaranNya. KitabNya ialah perkataanNya yang diwahyukan kepada RasulNya, yang tidak sama dengan perkataan manusia dan tidak dapat ditiru sepertinya oleh sesiapa jua. Kemudian, beriman kepada KitabNya memerlukan dimuliakan dan dibesarkan kehormatannya dengan memandang keutamaannya dari segala kitab, dengan membaca ayat-ayat dengan cara betul, memahami ertinya serta mencari rahsia dan hukumnya, mendalami ilmu pengetahuannya, memerhati hukumnya dan menyesuaikan diri dengan pengajara dan yakin bahawa kitabNya adalah pedoman hidup sepanjang zaman.

Maksud nasihat bagi RasulNya ialah membenarkan kerasulannya, mempercayai apa dibawanya, mematuhi suruhan dan larangannya, membela agamanya, memusuhi siapa melawannya, mencintai siapa yang mencintainya, menghidup perjalanan dan sunnahnya pada diri dan dalam masyarakat.


Nasihat Bagi Imam-imam Kaum Muslimin dan Orang Ramai

Imam-imam Kaum Muslimim ialah pemimpin-pemimpin, raja-raja, ulama-ulama, dan ketua-ketua pemerintahan Islam. Maksud nasihat kepada mereka ialah menolong dan menyokong mereka dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan, tegur mereka dengan sopan dan peringati mereka di kala mereka terlalai dari kewajipan, dan jangan dihasut orang ramai supaya keluar dari barisan ketaatan yang membawa kekacauan.

Maksud nasihat kepada orang ramai Kaum Muslimin ialah memimpin mereka ke jalan benar, mengawasi mereka dari jalan salah, mengajar mereka, belajar dari mereka, bertolong-tolongan di antara mereka dalam perkara kebaikan dan taqwa, saling hormat-menghormati, cinta-mencintai, bersama-sama menjaga kemuslahatan hidup dengan menjauhi sifat-sifat membangkitkan fitnah dan permusuhan dan memahami setiap orang adalah anggota dalam masyarakat. Tiada masyarakat jika tiada diri perseorangan, sebab itu kebaikan masyarakat terletak pada kebaikan setiap diri seseorang. Begitu jua sebaliknya. Hal ini haruslah dilakukan dengan cara tertentu, mengikut jalan benar lagi bijaksana dengan menghindarkan perkara membawa keburukan - baik dalam perkataan ataupun perbuatan.

Nasihat memang besar manfaatnya. Tetapi jika salah caranya mungkin membawa bencana. Setiap orang mahu memberi nasihat hendaklah mengerti cara bagaimana hendak melakukannya supaya nasihatnya dapat menginsafkan dan diterima.

Nasihat dilakukan kepada orang ramai, kepada seorang atau orang tertentu. Setiap nasihat hendaklah dilakukan dengan cara bijaksana dan sopan, sesuai dengan keadaan mereka dinasihatkan itu. Kalau nasihat itu kepada orang atau beberapa orang maka hendaklah dilakukan dengan cara tersembunyi. Sekiranya dilakukan di depan orang ramai maka nasihat seperti itu bukanlah lagi nasihat, tetapi suatu penghinaan secara terang-terangan.

Nasihat bukan sahaja berhadapan dengan kawan tetapi juga dapat dilakukan dibelakangnya. Sabda Rasulullah s.a.w.
"Sesungguhnya dari hak seorang Islam ialah menasihati baginya apabila ia ghaib (tiada bersama dengannya"

Contohnya nasihat seperti ini, jika ada orang lain mahu memburuk-burukkan atau merosakkan kehormatan peribadi kawannya, hendaklah ia menolak, membela serta membersihkannya. Kerana ini adalah haknya sebagai seorang Islam atas kawannya. Dengan demikian terbentuklah keikhlasan dalam pergaulan dan inilah jenis nasihat yang sangat diperlukan sebagai satu hak setiap diri dalam hubungan dengan kawannya dan hak ini yang menjadi ukurannya. Nasihat secara berhadapan muka belum tentu dapat mencerminkan kesucian hati, sebab mungkin nasihat itu semata-mata diluar saja tidak dari jiwa yang ikhlas dan setiakawan.



Barakallahufikh... =)


MENDAMBAKAN CINTA ALLAH


Tiada ulasan:


Sapa2 nak dengar ceramah MP3, sila beri emel anda kepada saya dengan menge'send' emel kepada saya via:

1- facebook
2- ruang komen
3- ruang shoutbox
4- emel (sixiangjia1786@gmail.com)
5- henset (01x-xxxxxxxx)
6- pos express
7- burung merpati

Antara tajuk yang ada dalam koleksi :
1- Ustaz Shamsuri Hj Ahmad
*Kitab Muhimmah
*Kitab Bahrulmazi
*Kitab Nurul Ihsan

2- Ustaz Azhar Idrus
*Kitab Asas Fardhu Ain

3- Ustaz Ismail Kamus
4- Ustaz Harun Din
5- Ustaz Zahazan Mohamad (Tafsir)

Jum sama2 menuntut ilmu..