Ceramah

Jumaat, 3 April 2020

Kisah Puaka 1 : Hantu Gelas







Kolej Kediaman Indah Permai, Kota Kinabalu, Sabah
Waktu 12 malam, hari Ahad

Malam itu, jam sudah menunjukkan pukul 12 malam. Namun Ramzi masih  tidak dapat tidur. Sudah 4 kali Ramzi cuba melelapkan mata dengan menyambung perjalanan dalam permainan konsol Final Fantasy VI. Malah berjaya menyelesaikan beberapa “Quest” Chocobo dengan jayanya. Tapi semuanya sia-sia. Otak Ramzi masih aktif walaupun sudah beberapa hari tidak minum Nescafe Latte ataupun Kopi Jantan. Sebagai seorang Muslim yang masih rapuh imannya, Ramzi turut menghabiskan bacaan Surah Al-Mulk serta Surah Al-Kahfi sebagai mengisi masa serta pelindung diri. Namun apabila sudah terasa diri maksum, Ramzi mula berhenti sebelum rasa ujub mula menguasai diri.

Bukan kerana teringatkan senyuman Sharifah petang tadi, pembantu ketua Persatuan Bulan Sabit Merah. Bukan juga kerana dilantik sebagai ketua kumpulan untuk kerja lapangan di Felda Palong 13, mencari sampel pokok Labisia Pumila Alata sp. yang makin sukar didapati di pasaran sekarang ni. Dia tahu senyuman Sharifah itu hanya cukup syarat, mungkin kerana Ramzi sudi membantu Sharifah fotostat nota Asas Genetik di kedai Yom di kantin fakulti yang terletak jauh di ceruk stadium. Dia juga tahu lantikan sebagai ketua kumpulan itu hanya sebagai pelengkap syarat, kerana pelajar yang lain tidak sanggup masuk ke dalam hutan belantara bersama Prof Ungku Judin, pensyarah yang sudah terkenal dengan sikap tegas tetapi suka bergurau hambar.

Malam ni Ramzi nekad. Sudah banyak malam kejadian yang sama berulang. Takkan setiap hari Ramzi akan menerima bebelan Prof Dr Zalina, Timbalan Dekan Fakulti Sains, hanya sebab datang lewat ke kelas. Malah topik yang sama setiap hari – “Disiplin Masa” diulang-ulang. Topik yang sudah lali dalam otak Ramzi. Malah kalau Hypocampus otaknya boleh berkata-kata, mungkin turut akan mengeluh bosan kerana topik yang sama perlu ingat setiap hari.

Maka dengan penuh yakin, Ramzi menuju ke almari misterinya, lokasi agak tersembunyi, di mana segala stok makanan Ramzi akan disorok di situ, bagi mengelakkan dipau kawan-kawan yang datang ke rumahnya. Sambil membelek biskut Lexus coklat serta biskut kering Hup Seng, Ramzi cuba menahan diri agar tidak terpedaya dengan hasutan biskut. Ramzi cuba fokus misi asalnya. Ramzi selak biskut itu dan terpampanglah sebuah bungkusan tertulis “Susu Kambing Perisa Coklat” keluaran Kambing City. Satu pek diambil dan dibancuh secukup rasa, bersama air suam yang sudah dimasak 30 minit tadi, sebagai persediaan untuk menjamah Maggi.

Malam ni Ramzi tidak mahu tewas. Dia mahu tidur awal. Sudah banyak malam kejadian sama berulang dalam seminggu ni. Hanya kerana susu kambingnya hilang secara misteri, itu bukan alasan bagi Ramzi untuk hadir lewat ke kuliah lagi. Bagi Ramzi, cukuplah pagi tadi syarahan terakhir bersama Prof Dr Zalina kerana datang lewat. Dia tahu Prof juga sudah bosan bersyarah tajuk yang sama setiap hari pada Ramzi.


++++++++++


Flashback 5 hari lepas…

Ramzi perlu menyiapkan assignment Fizik Asas II malam ini. Subjek kegemaran Ramzi kerana Dr Kho peminat pasukan Arsenal, sama macam Ramzi. Malah idola Ramzi – Dennis Bergkamp – turut menjadi idola Dr Kho. Banyak analogi konsep Fizik menjadi mudah difahami Ramzi kerana Dr Kho bijak menganalogikan aplikasi Fizik dengan permainan bolasepak. Walaupun begitu, Ramzi hanya mendapat markah B+ untuk subjek Fizik Asas I, tak tahu di mana silapnya. Mungkin kerana terlalu over-confidence yang akhirnya memakan diri Ramzi semasa mengambil exam Fizik Asas I. Jadi untuk subjek Fizik Asas II ini, Ramzi nekad ingin membuat Dr Kho bangga dengan Ramzi, sama seperti Dr Kho menyukai Dennis Bergkamp. Jadi Ramzi akan pastikan semua latihan serta persediaan belajar sudah tersedia rapi seminggu sebelum peperiksaan.

Satu pek susu kambing berperisa coklat dibancuh secukup rasa. Berbekalkan Mee Sedap perisa tomyam, Ramzi yakin malam ni Ramzi akan berjaga malam sehingga Subuh. Malah cukup tenaga untuk melakukan solat tahajud sekejap bagi penguat iman. Satu gelas susu kambing coklat sudah tersedia di atas meja. Hanya tinggal Mee Sedap sahaja menunggu lembut. Demi sahaja membelek nota Fizik Asas setebal 300 mukasurat itu, telefon nokia 3310 Ramzi berdering. Jam waktu itu menunjukkan waktu 10 malam. Ramzi tahu itu ialah ayahnya yang menelefon ingin bertanya khabar, kerana Ramzi tidak kacak. Jadi mustahil ada gadis mahu telefon Ramzi ajak berbual waktu malam sebegitu lewat. Lagipun opahnya pernah melarang Ramzi mencari kekasih sebelum menamatkan pengajian. Andai dilanggar perintah opahnya, Ramzi takut dilarang untuk memandu kereta Datsun tahun 80-an peninggalan arwah atuknya. Jadi Ramzi akur pesanan opahnya.

Hampir 30 minit Ramzi berborak dengan ayahnya. Ayah Ramzi, Dato Fazli, seorang usahawan rempah di kota metropolitan Kuala Lumpur, memang kurang bercakap tentang pendidikan Ramzi. Malah hampir 90% perbualan Ramzi bersama ayahnya, bukan mengenai pelajaran. Hanya lebih kepada tazkirah panjang mengenai rutin hidup Ramzi serta perancangan Ramzi setelah tamat belajar. Malah acapkali mendengar deringan telefon dari ayahnya, Ramzi sudah bersedia untuk mendengar tazkirah panjang mengenai topik usahawan serta halatuju syarikat. Ramzi akur. Tidak pula membantah walaupun kurang berminat. Ramzi tahu dia hanya ada seorang ayah, sampai satu ketika Ramzi tidak akan mendengar lagi tazkirah itu apabila ayahnya sudah tiada. Malah Ramzi tahu, seorang ayah tidak akan sanggup memusnahkan masa depan seorang anak. Malah Ramzi bersyukur dianugerahkan seorang ayah yang fikirkan masa depan anaknya, kerana ada rakannya sudah kehilangan ayah sejak kecil, malah ada juga rakannya diabaikan ayah dan terbuang begitu sahaja. Bagi Ramzi, bebelan serta tazkirah itu tanda sayang. Ada ramai lagi insan di luar sana yang kurang kasih sayang seorang ayah.

Usai mengucapkan salam, Ramzi menamatkan panggiilan telefon. Ramzi meluru ke meja semula, bimbang Mee Sedapnya sudah dibaham tikus. Tapi Ramzi lega kerana Mee Sedapnya masih selamat.

Setelah menjamah 3 sudu mee, Ramzi kepedasan. Ramzi ingin meneguk susu kambing sebagai pengurang pedas. Cawan berisi susu kambing diambil. Tapi Ramzi pelik tiada aroma susu kambing seperti biasa. Gelas terasa ringan. Ramzi cuba meneguk, terasa kosong, gelas pula bersih di luar. Ramzi cuba menjenguk ke dalam gelas, gelas memang bersih. Sah susu kambingnya sudah hilang. Ramzi kepedasan.

Ramzi meluru ke tandas meneguk air paip bagi hilangkan pedas, sambil menyumpah seranah mengapa susu kambingnya hilang secara misteri. Habis bertenang, Ramzi menggaru kepala yang tidak gatal. Sambil memikirkan dirinya adakah sudah nyanyuk, Ramzi juga terasa bodoh kenapa masih diteguk gelas kalau sudah tahu isinya ringan dan gelasnya bersih. Cuma Ramzi keliru. Adakah memang Ramzi terlupa bancuh tadi? Atau memang susunya sudah dihirup tikus atau cicak durjana? Tapi mengapa gelasnya dibasuh sekali? Sebab masa meneguk gelas kosong itu tadi, Ramzi terbau sabun Axion. Malah Ramzi yakin itu sabun Axion bekas warna kuning, kerana dia pernah didenda arwah atuknya membasuh kuali kenduri yang banyak, hingga habis 4 bekas sabun Axion. Ketika itu Ramzi didenda arwah atuknya kerana Ramzi sengaja meletak garam di dalam kuali lauk ayam kari, kononnya ingin bergurau. Padan muka Ramzi.

Gara-gara susu kambingnya sudah hilang, malam itu Ramzi terlelap di atas meja kerana mengantuk. Malah keesokan harinya Ramzi dimarahi ketua pustakawan, kerana buku pinjamannya kotor sedikit, mungkin kuah Mee Sedap terkena sedikit di buku. Mungkin kerana Ramzi terlena semasa menghabiskan Mee Sedap, maka air liur basinya terkena di buku. Mujur Ramzi tidak dikenakan sebarang denda.


++++++++++


Kejadian 5 hari lepas turut berulang pada hari seterusnya. Malah lagi pelik, kejadian bukan hanya di rumahnya sahaja. Tiga hari lepas Ramzi pernah membawa 1 pek susu kambing sebagai persediaan berjaga malam di makmal. Ada tugasan tisu kultur perlu disiapkan, yang melibatkan beberapa radas perlu disterilkan. Maka Ramzi akur dengan tugasan itu.

Sebagai persediaan berjaga malam, Ramzi bancuh satu gelas susu kambing perisa coklat. Usai bancuh, Ramzi ke tandas sekejap untuk membasuh tangan. Bimbang ada bahan kimia yang masih melekat di jari. Sebab ada sesetengah bahan kimia untuk menyediakan media Murashige Skoog itu bersifat karsinogen - iaitu penyebab kanser. Semasa pulang ke makmal, Ramzi lihat susu kambingnya hilang, malah gelas masih bersih. Sedangkan Ramzi biarkan gelas dalam keadaan tertutup dengan buku nota. Takkan dalam makmal pun ada tikus atau cicak? Malah rajin pula mereka basuh gelas setelah melakukan kerja terkutuk itu?

Malam ini, Ramzi nekad ingin siasat angkara siapa selama ini. Ramzi sudah penat hadir lewat ke kuliah kerana terlajak tidur. Dengan penuh strategi, Ramzi sengaja membiarkan gelas susu kambing perisa coklat di atas meja. Sebagai tambahan, Ramzi meletakkan label besar di tepi gelas bertulis “Susu Kambing Coklat Sedap”, sebagai perangkap bagi cicak ataupun tikus yang bijak membaca, ataupun saspek yang disyaki. Paling disyaki setakat ini, jiran sebelah rumah iaitu Fuad, pelajar tahun akhir bidang Kejuruteraan Elektrik yang lebih banyak buat hal sendiri serta bermain permainan DOTA sambil bercakap seorang diri. Usai membuat perangkap, Ramzi menyorok di tepi tandas sambil memerhatikan apa yang berlaku.

Sudah berlalu 30 minit, tiada kelibat apa-apa yang muncul. Susu kambing sudah sejuk. Tapi Ramzi masih sabar menunggu, malah hampir terlelap. Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Kedengaran bunyi nyalakan anjing yang tidak bersahutan. Fikiran Ramzi mula melayang jauh, berfikir tahyul akan wujudnya werewolf ataupun Son Goku versi gorila yang akan menghirup susu kambing itu. Atas dasar iman yang masih utuh, Ramzi membaca ayat kursi sambil menafikan segala kepercayaan khurafat dan tahyul sebegitu, yang hanya merosakkan akidah seorang Muslim.

Sejam sudah berlalu. Ramzi mula hilang sabar, tapi masih mampu menunggu. Tiba-tiba kedengaran bunyi seakan bisikan halus “ssssss” di telinga kirinya. Bulu roma Ramzi mula meremang. Tapi Ramzi cuba kuatkan iman. Sebab Ramzi sudah tidak mahu dibebel Prof Dr Zalina keesokan hari. Selagi belum tahu kenapa susu kambingnya hilang, Ramzi tidak berpuas hati. Atas semangat itulah Ramzi terus bertahan walaupun sudah bermata panda.

Dua jam sudah berlalu, Ramzi sudah banyak kali terlelap. Ada ketikanya Ramzi cuba menjenguk ke dalam tandas, bimbang ada benda lain yang muncul. Dalam separuh mengantuk, tiba-tiba cuping telinga Ramzi menangkap bunyi sesuatu. Ramzi mula bersedia untuk sebarang kemungkinan. Ramzi cuba fokus ingin mengetahui apakah yang berbunyi. Setelah diteliti rupanya paip air tandas Ramzi menitis. Malam tadi bekalan air terputus selama beberapa jam, jadi mungkin bekalan baru disambung semula. Jadi paip air tidak ditutup rapat.

Ramzi masuk ke tandas ingin mengetatkan paip air. Sambil bercakap seorang diri ibarat orang gila, Ramzi menegur kepala paip itu, “Kenapa tadi tak cakap dari awal? Kenapa sekarang waktu pagi buta baru nak menitis? Sengaja nak bagi seram ke?”

Ramzi keluar tandas. Ramzi menjenguk semula ke meja yang berisi susu kambing. Alangkah terkejutnya Ramzi apabila melihat gelas sudah tiada di atas meja. Ramzi kebingungan. Otaknya mula berfikir tahyul. Adakah selama ini memang ada penunggu gelas? Atau memang wujudnya gelas puaka?

Ramzi menuju ke meja. Cuba melihat kesan bukti. Malangnya tiada bukti yang kelihatan. Semuanya bersih. Hanya gelas yang hilang. Sambil kecewa Ramzi menuju ke tandas, kononnya ingin memarahi paip air kerana menggangu kerja penyiasat Ramzi malam ini.

Sampai ke pintu tandas, Ramzi ternampak satu lembaga. Sekujur tubuh berambut panjang, berkain putih sambil terkaku di situ. Ramzi mengucap panjang sambil membaca Al-Fatihah serta Al-Mathurat. Namun segala bacaannya tunggang-langgang kerana sudah ketakutan. Malah lembaga itu tiada sebarang respon, hanya berdiam di situ sahaja.

Sudah habis semua bacaan, Ramzi penat, nyaris pengsan. Lembaga itu pula semakin mendekat kepada Ramzi. Ramzi yang memang ada penyakit darah rendah, memang akan kekurangan darah apabila dalam keadaan takut ataupun risau. Apabila keadaan panik, jantung Ramzi automatik akan mengepam darah dengan lebih kuat, tapi oleh kerana salur darahnya semakin mengecil, tidak semua anggota badan akan menerima bekalan darah. Masa inilah situasi yang menyebabkan Ramzi jadi nyaris pitam, kerana kekurangan bekalan darah ke otak.

Dalam keadaan pasrah, Ramzi hanya terima apa akan jadi selepas itu. Makhluk itu sudah berada di hadapan Ramzi yang sudah terduduk lesu. Kemudian makhluk itu menghulurkan sesuatu sambil berkata, “Nah”. Dalam keadaan separuh sedar, Ramzi cuba mendengar apa yang dikatakan. Di tangan makhluk itu ada gelas susu kambing Ramzi, yang sudah dicuci bersih dengan sabun Axion.

Ramzi kebingungan. Sambil memandang ke atas dengan mata yang semakin layu, Ramzi memang cam wajah itu. Tapi oleh kerana kanta matanya semakin mengecil dek ketakutan tadi, maka kekurangan cahaya yang masuk ke kornea menyebabkan penglihatannya agak kabur. Jadi mengambil masa beberapa minit untuk difokuskan semula.

Kemudian makhluk itu berkata lagi, “Maaflah selama ni aku pau susu kambing ko. Sedap kot. Memang bagus untuk aku yang jaga malam ni. Tapi nak mintak segan. Aku dah selongkar habis almari ko, tak pulak jumpa susu kambing tu. Haritu sampai ke makmal aku follow sebab ketagih susu kambing ni. Kebetulan aku ada praktis malam tu kat padang bawah. Aku basuh gelas selama ni, sebagai balasan aku pau semua susu kambing tu. Kalau boleh aku nak beli sekotak, berapa RM ye? Yang aku dah pau ni aku bayar sekali. Harap ko tak marah.”

Ramzi kenal suara itu. Itu suara roomatenya, Farid yang memang suka berjaga malam kerana latihan seni bersama kawan-kawannya. Sebagai pelajar Fakulti Kesenian, memang menjadi kebiasaan mereka berambut panjang serta berjaga malam. Hanya waktu malam sahaja waktu yang sesuai untuk mereka melakukan latihan serta menyiapkan tugasan. Kebetulan tugasan mereka bulan itu berkisarkan hantu “Sundal Bolong”, maka Farid terpilih menjadi hantu wanita kerana lagak gerinya yang agak ayu.

Ramzi hanya separuh sedar. Apa yang dikata Farid, Ramzi hanya mengangguk lemah. Mungkin kerana terlalu bersemangat nak jadi penyiasat malam tu, Ramzi terlupa makan malam. Oleh kerana perut lapar, mata semakin mengantuk, rasa takut pun belum hilang, akhirnya Ramzi terlelap terus di depan tandas sampai esok pagi.

Esok harinya Ramzi tak hadir kuliah Genetik Asas. Maka Ramzi bakal dibebel lagi teruk oleh Prof Dr Zalina nanti, kerana subjek itu di bawah kendalian Prof itu sendiri. Apa yang pasti, Farid akan mengetawakan Ramzi esok hari.

Tamat.


 Kisah puaka tamat pada jam 12:52 pagi, 3 April 2020

Lokasi : Bawah jambatan puaka


=================================


P/s : Nama watak dan kejadian hanya rekaan semata-mata. Sekiranya watak itu berkait dengan seseorang ataupun kejadian yang sebenar, itu tidaklah disengajakan.









Tiada ulasan:


Sapa2 nak dengar ceramah MP3, sila beri emel anda kepada saya dengan menge'send' emel kepada saya via:

1- facebook
2- ruang komen
3- ruang shoutbox
4- emel (sixiangjia1786@gmail.com)
5- henset (01x-xxxxxxxx)
6- pos express
7- burung merpati

Antara tajuk yang ada dalam koleksi :
1- Ustaz Shamsuri Hj Ahmad
*Kitab Muhimmah
*Kitab Bahrulmazi
*Kitab Nurul Ihsan

2- Ustaz Azhar Idrus
*Kitab Asas Fardhu Ain

3- Ustaz Ismail Kamus
4- Ustaz Harun Din
5- Ustaz Zahazan Mohamad (Tafsir)

Jum sama2 menuntut ilmu..